Henti bentang bajet berasaskan kaum, gesa Xavier

Henti bentang bajet berasaskan kaum, gesa Xavier

Bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu berkata peruntukan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) 'tidak boleh diterima'.

Dr Xavier Jayakumar menggesa kerajaan merumuskan bajet yang munasabah untuk ‘Keluarga Malaysia’ dan masa depan.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas menteri persekutuan menggesa kerajaan menghentikan pembentangan bajet berasaskan kaum dan agama atau berisiko gagal mencapai perpaduan negara pada masa depan.

Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), yang merupakan menteri semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata, belanjawan tahunan dilihat berasaskan kaum setiap tahun dengan isu yang dibangkitkan mengenai berapa banyak peruntukan diperolehi oleh etnik tertentu.

Beliau yang keluar daripada PKR dan kini mesra Perikatan Nasional, menggesa kerajaan merumuskan bajet yang munasabah untuk “Keluarga Malaysia” dan masa depan.

“Sebab kalau kita teruskan bajet berasaskan kaum dan agama, kita tidak akan dapat kefahaman ataupun perpaduan dalam negara untuk masa depan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Xavier turut melahirkan rasa kecewa berhubung dana RM32.4 bilion yang diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan menyifatkan ia tidak sesuai dan “tidak boleh diterima”.

Beliau berkata, 70% penduduk di negara ini bergantung kepada rawatan di klinik dan hospital kerajaan.

Sebaliknya, hanya 30% daripada keseluruhan pakar perubatan bekerja dalam perkhidmatan awam, manakala bakinya di sektor swasta.

Bekas Naib Presiden PKR itu turut meminta maklumat terkini mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan memetik laporan sebelum ini pada Mac bahawa kerajaan akan menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari jika projek itu ditangguhkan.

Ini susulan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan perjanjian penjajaran semula projek rel itu.

Xavier mempersoalkan mengapa kerajaan lebih bersedia untuk membayar RM1.25 juta setiap hari, bukannya mempertimbangkan penjajaran ECRL yang lain.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen supaya lebih berhati-hati ketika membahaskan isu dengan merujuk kepada kontroversi arak jenama Timah yang dibincangkan di Parlimen baru-baru ini.

“Apa yang dibincang di Parlimen ini bukan didengar di kampung dan bandar Malaysia sahaja tetapi tetapi di seluruh dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.