
Bank pusat telah mengekalkan kadar sama sejak Julai 2020.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat terakhir bagi tahun ini, BNM berkata, sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2.0% hingga 3.0% pada 2021 selepas mencatat purata 2.3% sejak awal tahun setakat ini.
Inflasi asas seperti diukur oleh inflasi teras dijangka berada pada purata bawah 1.0% pada 2021 manakala inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana pada tahun depan.
Menurut BNM, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih di tahap rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi serta dalam pasaran pekerja.
“Prospek itu bagaimanapun terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” katanya.
BNM berkata, menjelang tahun depan, momentum pertumbuhan Malaysia dijangka semakin baik disokong oleh pengembangan permintaan global dan peningkatan perbelanjaan sektor swasta sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi serta sokongan dasar yang berterusan.
Namun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik.
“Ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan,” kata BNM.
Selain itu katanya, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan dan disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
“Inflasi turut meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.
“Bagaimanapun prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan lanjut berkaitan liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan,” katanya.
Malah menurut bank pusat itu, dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan.
Secara keseluruhan BNM berkata, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan yang disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian membabitkan varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan serta potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara susulan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.
“MPC menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.
“Selain itu, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberi sokongan ke atas kegiatan ekonomi,” katanya.
Menurut BNM, berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Bank pusat itu juga terus komited untuk menggunakan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan.
Dalam pada itu, MPC turut meluluskan jadual mesyuarat jawatankuasa tersebut bagi 2022 yang akan diadakan sebanyak enam kali setahun selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Mesyuarat terbabit akan diadakan selama dua hari dengan pengumuman pernyataan Dasar Monetari terbabit pada jam 3 petang pada hari kedua.