
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini, perkenan Agong kepada penamatan Proklamasi Darurat itu adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.
‘Namun ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan dan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.
Proklamasi Darurat Sarawak berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.
Azuan Effendy berkata, perlu diperjelaskan bahawa Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.
“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran Baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.
Terdahulu, Azuan Effendy berkata, Sultan Abdullah menerima menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud di Istana Negara pada 2 Nov 2021.
Katanya, pada sesi menghadap ini, Abdul Taib telah menyampaikan hasrat dan permohonan Kerajaan Sarawak kepada Seri Paduka Baginda agar Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak dapat ditamatkan.
“Pada hari ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
“Pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 8 pagi ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah nasihat daripada Ismail Sabri berhubung dengan penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak,” katanya.
Pada 2 Nov 2021, Agong turut telah berkenan menerima menghadap Peguam Negara Idrus Harun bagi menyembah taklimat berhubung dengan perkara yang sama.
DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.