
Idris yang juga bekas ADUN Sungai Udang berkata, beliau dan Nor Azman, masih menunggu keputusan muktamad Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim, sama ada diterima menjadi ahli parti komponen gabungan itu atau sebaliknya.
“Begitu juga keputusan majlis berkenaan berhubung sama ada kami layak menjadi calon mewakili PH pada PRN Melaka 20 November ini.
“Saya serahkan kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan segala-galanya kerana saya dan Nor Azman tiada apa-apa kuasa. Bukan seperti Timbalan Ketua Umno Melaka (Mohamad Ali Mohamad) yang bebas memilih kerusi mana yang dia hendak bertanding,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Menurut laporan itu, Mohamad Ali, yang juga Ketua Umno Tangga Batu, dilaporkan bakal mencabar Idris walau di mana sahaja bekas Ketua Menteri itu bertanding.
Mohamad Ali menewaskan Idris dalam pemilihan Umno bahagian Tangga Batu pada 2018, manakala Nor Azman yang bertanding Timbalan Ketua Umno bahagian, tewas kepada regu Mohamad Ali, iaitu Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Sementara itu, Nor Azman mendakwa mendapat sokongan daripada pencabarnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Juhari Osman daripada Amanah.
Beliau mendakwa, dalam pertemuan dengan Juhari, bekas calon Amanah yang bertanding menggunakan logo PKR itu, menyatakan sokongan kepadanya kerana yakin beliau akan diterima menjadi ahli salah satu daripada parti komponen PH.
“Alhamdulillah, saya menerima sokongan daripada bekas calon yang pernah berlawan dengan saya di kerusi DUN Pantai Kundor pada PRU14.
“Beliau yakin saya dan Datuk Seri Idris Haron akan diterima menjadi ahli parti komponen PH tidak lama lagi,” katanya.
Nor Azman juga mendakwa, dia turut menerima sokongan baik daripada pemimpin PH di peringkat akar umbi dan yakin mampu menarik lebih banyak sokongan menjelang hari penamaan calon pada 8 Nov ini.