
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, beliau berkata Ahli Parlimen sewajarnya menunjukkan kemarahan sama seperti yang disuarakan dalam kontroversi arak jenama Timah.
“Sejak dua minggu lalu, kita banyak mendengar banyak mengenai isu Timah setiap hari, terutamanya mengenai penjenamaan semula produk itu,” kata Ahli Parlimen bebas itu.
“Kita mengadakan mesyuarat Kabinet yang melibatkan tiga kementerian bagi membincangkan perkara itu walaupun syarikat berkenaan telah lama wujud di Malaysia.
“Adakah kita juga akan memberi tumpuan dan kritikan sama bagi isu ketirisan berjumlah RM620 juta melibatkan jutaan ringgit duit rakyat?
“Dewan membisu berkenaan isu ini, sebaliknya kita membincangkan isu jenama Timah seolah-olah ia yang terbesar dihadapi negara. Adakah isu Timah lebih penting daripada ketirisan, salah guna dana dan pendidikan berkualiti,” katanya.
Pada 28 Okt lalu, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan sebanyak RM620.07 juta dana awam hilang atau dibazirkan sepanjang tahun 2020 kerana ketakpatuhan kementerian dan jabatan peringkat persekutuan terhadap pengurusan kewangan.
Nik Azman juga memberitahu, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian dana, RM81.69 juta merupakan penalti belum dituntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen; manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat terima dan tidak dipasang di Istana Budaya.