Diskiriminasi bakal penyewa akan dikaji dalam penggubalan akta sewa rumah

Diskiriminasi bakal penyewa akan dikaji dalam penggubalan akta sewa rumah

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican, berkata Akta Sewaan Kediaman mahu mengimbangi hak pemilik dan penyewa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican berkata, agak janggal sekiranya ada undang-undang yang menyokong ‘kecenderungan’ perkauman pemilik rumah.
KUALA LUMPUR:
Akta Sewaan Kediaman yang akan dibentangkan tahun depan mungkin akan merangkumi cara-cara untuk mengurangkan diskriminasi dalam pasaran sewa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican, memberitahu Dewan Rakyat, beliau maklum mengenai diskriminasi sedemikian dan kementerian akan meneliti butirannya.

Beliau menarik perhatian wakil rakyat kepada Akta Perumahan Adil di AS yang tidak membenarkan sebarang jualan atau sewaan atas dasar “preference” (kecenderungan) pemilik.

“Tetapi di Malaysia ini, kalau disebut diskriminasi itu, ia adalah soal ‘preference’. Agak janggal juga kalau ada akta-akta yang menyokong ‘preference’ ini.

“Namun begitu, kita akan jalankan kajian untuk meneliti kesesuaian memasukkan elemen-elemen yang dibangkitkan,” katanya menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) sama ada akta itu akan meneliti diskriminasi yang dihadapi bakal penyewa kerana pemilik cenderung terhadap kaum tertentu.

Ong berkata, terdapat juga insiden pemilik menyatakan tidak mahu menyewakan rumah atau bilik kepada warga asing.

Reezal berkata, semangat akta baharu itu adalah untuk mengimbangi hak pemilik dan penyewa bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan.

Akta itu turut merangkumi tribunal untuk menangani isu antara kedua-dua pihak.

Kementeriannya mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas dan Jemaah Menteri secara prinsip bersetuju membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada suku ketiga tahun depan.

“Akta yang dicadangkan itu boleh merangkumi pengusiran sembarangan dan kenaikan sewa,” katanya.

Amalan pemilik yang secara terbuka mengiklankan pilihan kaum serta kecenderungan lain dibangkitkan media selama bertahun-tahun, namun setakat ini tiada penyelesaian yang dicapai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.