
Dalam afidavitnya terhadap permohonan semakan kehakiman oleh penerbit Chong Ton Sin dari Gerakbudaya Enterprise dan penulis Ngeo Boon Lin, Hamzah berkata, kandungan buku itu melanggar norma sosial.
Katanya, buku berkenaan berkecenderungan menghasut orang ramai mengadakan protes besar-besaran dan seterusnya mewujudkan huru-hara.
“Kerajaan mempunyai kewajipan untuk memelihara keamanan dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku,” katanya.
Gerakbudaya Enterprise dan Ngeo diberi izin untuk mengemukakan cabaran undang-undang terhadap keputusan Hamzah membatalkan penerbitan itu.
Mereka mendakwa pengharaman buku yang diterbitkan pada 2013 itu, tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara mereka.
Kementerian Dalam Negeri pada Disember tahun lalu mengharamkan buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Selain itu, Hamzah berkata mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, beliau tidak perlu memberi alasan kepada Gerakbudaya Enterprise dan Ngeo berhubung keputusannya mengharamkan buku itu.
“Saya berpuas hati dan mendapati buku ini mengandungi unsur homoseksual dan penulis dilihat mempromosikan LGBT dengan memberikan pelbagai justifikasi.
“Penulis juga mendakwa bahawa homoseksual boleh ‘mengawal’ populasi,” katanya.
Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin akan mendengar kes itu pada 26 Jan depan.