Bajet 2022: Peruntukan sektor kesihatan ‘mengecewakan’, kata kumpulan pengguna

Bajet 2022: Peruntukan sektor kesihatan ‘mengecewakan’, kata kumpulan pengguna

Setiausaha Agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh berkata hanya terdapat sedikit peningkatan dalam Bajet 2022 berbanding tahun lepas.

Sebuah kumpulan pengguna berkata, bajet sepatutnya menyediakan lebih banyak dana untuk peralatan kesihatan baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peruntukan Bajet 2022 untuk sektor penjagaan kesihatan masih mengecewakan dengan hanya sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, kata sebuah kumpulan pengguna.

Setiausaha Agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh berkata, penjagaan kesihatan perlu ditambah baik, terutamanya dengan memastikan peralatan baharu dibeli untuk menggantikan peralatan lama.

Katanya, kumpulan itu juga kecewa dengan kekurangan langkah untuk menangani kos rumah yang tinggi.

“Kami menjangkakan lebih banyak pengenalan langkah untuk mengawal kenaikan kos hartanah kediaman terutamanya di kawasan bandar dan dalam mengehadkan akses kepada pembeli warga asing,” katanya.

“Ia bagus bila lebih banyak rumah mampu milik akan dibina tetapi sekali lagi ini mungkin terletak di lokasi yang jauh dari bandar. Akses kepada pengangkutan awam juga akan menjadi isu di kawasan terbabit. Ini tidak menyelesaikan isu lama mengenai kos hartanah kediaman yang tinggi,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun beliau berkata, bajet berkenaan mengandungi perincian yang baik membabitkan peruntukan kebajikan sosial.

Sukhdave berkata, walaupun peningkatan dalam pelaburan bagi menambah baik sambungan 5G, namun isu teras akses internet masih tidak ditangani kerana masalahnya bukan sambungan semata-mata tetapi juga kelajuan.

Beliau berkata, orang ramai kini sangat bergantung kepada internet sebagai alat komunikasi utama dan kelajuan internet yang perlahan juga boleh menjejaskan kesihatan mental.

Sukhdave berkata, beliau juga kecewa kerana kerajaan membenarkan penjualan vape dan rokok elektronik.

“Dari satu segi, kerajaan mahu rakyat mengamalkan gaya hidup sihat seperti memperluaskan cukai gula, tetapi ia juga membenarkan penjualan produk berbahaya ini. Kerajaan mesti putuskan apakah yang mereka mahu capai,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, duti eksais ke atas semua vape dan rokok elektronik adalah “suatu kesilapan besar” kerana menggalakkan satu bentuk ketagihan nikotin baharu kerana kesan kos rawatan perubatan untuk ketagihan nikotin dan penyakit yang berkaitan.

Tambah Mohideen, pemansuhan cukai jualan untuk kenderaan yang dipasang dalam negara hanya boleh digunakan untuk kenderaan pengangkutan awam, bukan untuk kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Saravanan Thambirajah berkata, bajet itu telah meningkatkan jaringan keselamatan untuk rakyat. Bagaimanapun lebih banyak perlu dilaksanakan untuk menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.