100% dewasa P Pinang divaksin, PPV Mega rasmi ditutup

100% dewasa P Pinang divaksin, PPV Mega rasmi ditutup

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan terhadap komitmen setiap petugas di situ.

PPV di Setia Spice Arena ditutup hari ini, dan petugas barisan hadapan serta sukarelawan mengakui amat menghargai detik-detik sepanjang berkhidmat di situ sejak 147 hari lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Meskipun petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) mega Pulau Pinang memakai pelitup muka, senyuman dan kegembiraan masing-masing masih boleh dirasai semasa mereka meraikan penutupan PPV di Setia Spice Arena di sini hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang merasmikan penutupan PPV mega itu, mengumumkan bahawa 100% penduduk dewasa di Pulau Pinang telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan terhadap komitmen setiap orang yang berada di sini dalam memastikan keselamatan dan sekuriti negara serta rakyat kita,” katanya dipetik Bernama, ketika berucap pada majlis itu.

Petugas barisan hadapan serta sukarelawan dari pelbagai jabatan berkata mereka amat menghargai detik-detik sepanjang mereka berkhidmat di PPV mega itu sejak 147 hari lepas dan akan menyimpan memori itu sebagai kenangan manis dalam hidup masing-masing.

Antaranya Mejar Mohd Kalimi Idris dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang berkata setiap petugas barisan hadapan memiliki semangat setiakawan yang tinggi dan telah bekerjasama dengan baik antara satu sama lain seolah-olah mereka adalah rakan seperjuangan.

Beliau berkata kebanyakan anggota pasukannya gembira dan meraikan persahabatan yang terjalin sepanjang perkhidmatan itu manakala yang lain mempunyai perasaan bercampur-aduk kerana sedar bahawa mereka mungkin tidak dapat bertemu antara satu sama lain dengan kerap seperti sebelum ini.

“Secara keseluruhan, saya secara peribadi berasa gembira kerana operasi PPV mega ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan saya juga gembira dapat memainkan peranan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat yang lebih selamat,” katanya kepada Bernama.

Pengajar jururawat yang telah bersara Khaw Ean Seok, 66, turut meluahkan rasa gembira kerana Pulau Pinang telah mencapai matlamat vaksinasi yang disasarkan.

Khaw, yang menawarkan diri sebagai pemvaksin sejak PPV Setia Spice mula beroperasi, berkata beliau telah bergaul mesra dengan pemvaksin lain yang jauh lebih muda daripadanya.

“Saya amat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan setiap petugas barisan hadapan di sini serta penerima vaksin yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kami,” kata Khaw sambil menambah beliau akan kembali kepada rutin hariannya selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.