RM14.5 bilion pacu pembangunan pendidikan tinggi, perkasa TVET, kata KPT

RM14.5 bilion pacu pembangunan pendidikan tinggi, perkasa TVET, kata KPT

Noraini Ahmad berkata, TVET antara 15 inisiatif yang mendapat manfaat daripada peruntukan Bajet 2022.

Noraini Ahmad berkata, pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion akan memanfaatkan pelbagai kementerian dan agensi.
PETALING JAYA:
Peruntukan RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Bajet 2022 akan membantu pelaksanaan program pembangunan pendidikan tinggi serta memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu meliputi perbelanjaan mengurus berjumlah RM11.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3 bilion.

“KPT menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara, terutama dalam menyalurkan dana bagi mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menekankan 15 inisiatif bajet untuk membantu graduan serta KPT.

Beliau berkata, di bawah skim PerantiSiswa Keluarga Malaysia, seramai 600,000 mahasiswa B40 akan menerima tablet melalui peruntukan RM450 juta.

“Pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion turut memanfaatkan pelbagai kementerian dan agensi. Di samping itu, tambahan RM200 juta turut diperuntukkan bagi program usahasama dengan industri.”

Katanya, peruntukan sebanyak RM423 juta kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta kementeriannya akan disalurkan kepada penyelidikan dan pembangunan, selaras perkembangan sains dan teknologi.

“Peruntukan termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.”

Beliau berkata, diskaun 10% hingga 15% untuk pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Nov ini hingga 30 April depan akan memanfaatkan 1.67 juta peminjam.

Diskaun 15% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 12% diskaun untuk bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 10% bagi bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Di bawah program e-Start, RM150 kredit secara “one-off” akan dimasukkan ke e-dompet belia berumur 18 hingga 20 tahun, termasuk pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.

“Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih 2 juta belia bagi tujuan pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.