Siam yang terlepas P Pinang kepada British, bukan Kedah, kata pakar

Siam yang terlepas P Pinang kepada British, bukan Kedah, kata pakar

Kedah tiada hak wilayah ke atas pulau berkenaan kerana Thailand ketika itu dikenali sebagai Siam, yang mempunyai kedaulatan ke atasnya, kata Clement Liang.

Barang pameran di muzium negara di Bangkok menunjukkan Pulau Pinang atau Koh Mak adalah wilayah Siam pertama yg terlepas kepada kuasa Barat. (Gambar Clement Liang)
GEORGE TOWN:
Ketika isu bayaran pajakan tahunan hangat diperdebatkan, seorang pakar warisan memberikan gambaran ringkas mengenai sejarah Pulau Pinang sejak Kedah memajakkannya kepada British pada 1786.

Ahli Majlis Persatuan Warisan Pulau Pinang, Clement Liang berkata, Kedah tiada hak wilayah ke atas pulau tersebut apabila ia mempersetujui pajakan itu kerana Thailand, ketika itu dikenali sebagai Siam, mempunyai kedaulatan ke atasnya.

Kedah memajakkannya tanpa pengetahuan raja Siam, katanya.

Buku teks sejarah Thai dan muzium negara di Bangkok menunjukkan bahawa Pulau Pinang atau Koh Mak adalah wilayah Siam pertama yang terlepas kepada kuasa Barat.

Clement Liang.

Liang berkata, Saiburi, sebagaimana Kedah dikenali ketika itu, pada tahun-tahun berikutnya sering diserbu tentera Siam kerana tidak taat. Pada 1821, Kuala Kedah musnah dalam perang yang dikenali sebagai Perang Bisik dan ribuan penduduk Kedah melarikan diri ke Province Wellesley bagi keselamatan dan penempatan semula.

Pada 1826, Raja Rama III dan pegawai British menandatangani Perjanjian Burney untuk mengiktiraf kemerdekaan Siam daripada kuasa Eropah.

Perjanjian itu mengiktiraf Kedah, Perlis, Terengganu dan Pattani sebagai wilayah Siam dan Pulau Pinang dan Province Wellesley sebagai wilayah British.

“Perjanjian Burney membatalkan status pegangan pajak ke atas Pulau Pinang seperti yang dipersetujui sebelum ini antara Sultan Kedah dan Syarikat Hindia Timur Inggeris,” kata Liang.

“Ada antara batu sempadan menandakan wilayah Siam dan British masih wujud di Seberang Perai hari ini.”

Katanya, hanya pada 1909 kerajaan Siam mengembalikan Kedah dan tiga lagi negeri Melayu utara kepada British. Bagaimanapun Kedah telah diserahkan semula kepada Siam pada 1943 semasa penjajahan Jepun.

Batu sempadan yang memisahkan Saiburi (Kedah) dan Province Wellesley (Seberang Perai) di sempadan timur laut Seberang Perai. (Gambar Clement Liang)

Beliau berkata, Pulau Pinang telah lama berada bawah kawalan British dan persoalan mengenainya sebagai wilayah Kedah menjadi pertikaian.

“Selama bertahun-tahun, Kedah tidak mendapat pengiktirafan dan mempunyai status kedaulatan yang meragukan, diburukkan lagi oleh perebutan kuasa istana diraja.

“Jadi, persoalan sama ada Kedah mempunyai hak untuk menuntut Pulau Pinang atau mengutip yuran pajakan tahunan tidak lagi sah,” katanya.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Kedah kehilangan haknya untuk menuntut semula Pulau Pinang apabila ia menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 bersama negeri-negeri Melayu lain.

Beliau berkata, Sultan Kedah menandatangani satu lagi perjanjian persekutuan Tanah Melayu pada 1957 tetapi tidak membuat sebarang tuntutan wilayah ke atas Pulau Pinang.

“Sultan Kedah tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Pinang dan Province Wellesley (kini Seberang Perai) dalam kedua-dua perjanjian ini,” katanya.

“Dengan ketiadaan mana-mana klausa khusus dalam perjanjian-perjanjian itu (1948 dan 1957) pada masa ia dimeterai, maka undang-undang akan menganggap dengan sah bahawa kerajaan Kedah telah mengabaikan tuntutannya terhadap Pulau Pinang.”

Katanya, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Pulau Pinang mempunyai hak yang sama dengan negeri lain di negara ini.

“Maka asas tuntutan kedah terhadap Pulau Pinang semakin rapuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.