Sedia lebih banyak tempat perlindungan mangsa dera, kata NGO, Ahli Parlimen

Sedia lebih banyak tempat perlindungan mangsa dera, kata NGO, Ahli Parlimen

Pada masa ini, hanya terdapat 43 tempat perlindungan bagi mangsa-mangsa penderaan domestik di seluruh negara.

Jumlah kes penderaan domestik di negara ini meningkat empat kali ganda sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac tahun lepas, kata WAO.
PETALING JAYA:
Dua badan bukan kerajaan (NGO) wanita dan seorang Ahli Parlimen pembangkang mahu kerajaan menyediakan lebih banyak tempat perlindungan bagi mangsa penderaan domestik menerusi Belanjawan 2022.

Pegawai Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Kiran Kaur berkata, negara ini tidak mempunyai tempat perlindungan yang mencukupi – pada masa ini hanya ada 43 buah di seluruh negara – untuk menampung mangsa penderaan domestik.

Katanya, jumlah kes penderaan domestik meningkat empat kali ganda sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lepas.

Negara memerlukan sekurang-kurangnya 314 tempat perlindungan bagi wanita yang didera mengikut piawaian minimum yang ditetapkan Majlis Eropah, kata Kiran.

Jurucakap All Women’s Action Society (AWAM) berkata, lebih banyak pusat sokongan sosial perlu dibina untuk menjadi tempat perlindungan sementara bagi mangsa penderaan domestik.

“Pusat ini akan membantu mengurangkan beban tempat perlindungan sedia ada yang “sudah melebihi kapasiti”, katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membiayai sesi latihan pembinaan kapasiti bagi membolehkan pegawai kebajikan yang menangani kes penderaan domestik mendapat pendedahan mengenai keganasan terhadap wanita dan cara menangani mangsa.

Kasthuri Patto daripada DAP berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pertubuhan wanita harus bekerjasama dalam menubuhkan pusat perlindungan keganasan domestik.

“Ini lebih-lebih lagi jika terdapat kes positif Covid-19 (di pusat perlindungan). Ke mana wanita dan kanak-kanak (yang berlindung) boleh pergi?”

Sebagai tambahan kepada tempat perlindungan bagi mangsa keganasan domestik, WAO dan Awam menyeru agar program latihan disediakan bagi wanita yang kehilangan pekerjaan semasa wabak supaya mereka dapat bekerja semula.

“Kami mengesyorkan agar kerajaan menawarkan saluran kepada wanita untuk meningkatkan kemahiran di luar bidang keusahawanan dengan laluan ke dalam tenaga kerja formal,” kata Kiran.

AWAM berkata, program latihan ini bukan sahaja harus berkualiti tinggi, malah disasarkan terhadap golongan yang dimaksudkan.

AWAM dan WAO juga menggesa kerajaan agar menyediakan peruntukan untuk menyelesaikan isu “kemiskinan haid” yang menyekat akses wanita kepada produk dan pendidikan berkaitan haid, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan harus merangka rancangan jangka panjang dengan memperkenalkan undang-undang mewajibkan pemberian produk sanitari percuma kepada semua wanita,” kata Kiran.

Beliau juga berkata, produk ini boleh disediakan di ruangan seperti institusi pendidikan dan pejabat melalui subsidi kerajaan yang disasarkan.

Awam berkata, langkah ini dapat mengesahkan kedudukan Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.