Putrajaya digesa pertimbang rebat RM1,000 hargai ‘pengorbanan’ guru

Putrajaya digesa pertimbang rebat RM1,000 hargai ‘pengorbanan’ guru

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi guru menganggap ia pengiktirafan terhadap kerja keras mereka semasa sekolah ditutup.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berharap kerajaan akan memberi peruntukan khas kepada guru sebagai menghargai pengorbanan mereka menggunakan kemudahan sendiri untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi guru menganggapnya pengiktirafan terhadap kerja keras mereka semasa sekolah ditutup.

Bagaimanapun, katanya, guru berharap kerajaan dapat memberi rebat RM1,000 untuk membeli komputer bimbit atau alat peranti.

“Rebat itu khusus untuk digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

“Sebelum ini, kita dapati guru banyak berkorban, mereka guna kemudahan sendiri seperti laptop dan data internet sendiri.

“Kita harapkan akan ada satu peruntukan khas untuk guru,” katanya kepada FMT mengulas peruntukan kepada guru dan pelajar di bawah Bajet 2022.

Aminuddin memuji kerajaan cukup prihatin dengan keadaan semasa kerana menyediakan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

“Ini kerana ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan dan ada yang terjejas semasa pandemik Covid-19. Bantuan ini sesuatu yang dikira amat membantu golongan terkesan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.