PM lancar Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bantu mahasiswa memerlukan

PM lancar Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bantu mahasiswa memerlukan

Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta kepada itu yang akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan.

Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia sebagai sebuah badan berperanan membantu golongan mahasiswa yang memerlukan.

Sebagai permulaan, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta kepada yayasan tersebut yang akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan sebagai tanda sokongan kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi serta matlamat penubuhannya tercapai.

“Badan ini akan berkolaborasi dengan semua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

“Sehubungan itu, saya mengingatkan kepada agensi dan pihak yang terlibat agar mempermudahkan dan mempercepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan segera kepada mereka,” katanya.

Berucap pada majlis pelancaran yayasan tersebut secara maya di Facebook rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ismail menegaskan penubuhan yayasan itu menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Susulan penubuhan yayasan berkenaan, Ismail berharap pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa menjadi lebih bersepadu dengan penglibatan semua pihak sekali gus menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia.

Memperincikan mengenai Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia, Ismail berkata, yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan bawah Akta 258 dan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Beliau turut menyeru Majlis Perwakilan Pelajar dan mahasiswa supaya menjalankan tanggungjawab dalam memastikan tiada rakan mahasiswa mereka yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan.

Beliau berkata, sebelum yayasan itu ditubuhkan, kerajaan memperkenalkan beberapa bantuan kepada mahasiswa sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19 antaranya Bantuan Pelan Data B40 melibatkan peruntukan RM24 juta dengan memberi manfaat kepada lebih 300,000 mahasiswa dan Bantuan Peranti B40 yang diberikan secara bersasar kepada hampir 9,000 mahasiswa dengan peruntukan RM13 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.