
Dana itu dilancarkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan akan disalurkan melalui Kementerian Kewangan.
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, YKM juga akan menumpukan usaha menstabilkan dan memenuhi aspirasi tadbir urus yang baik serta kebajikan mahasiswa.
“Secara dasarnya, penubuhan yayasan ini adalah seiring dengan fokus strategik KPT yang keenam, iaitu ‘Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin’ yang bakal menjadi medium pengurusan dan penyelarasan aktiviti penjanaan serta penyaluran dana bantuan kebajikan mahasiswa di peringkat nasional,” katanya ketika berucap pada majlis pelancarannya hari ini.
Noraini berkata, kementerian melakukan usaha lebih besar tahun ini dengan memberi tumpuan terutama kepada kebajikan dan kesejahteraan keseluruhan pelajar dari segi akademik, bantuan kewangan dan vaksinasi Covid-19.
“Sebanyak 43 universiti awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) bawah seliaan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) tdijadikan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT).
“Selain itu, pemberian vaksin secara pandu lalu dan perkhidmatan PPV bergerak/Outreach bagi memudah cara golongan yang memerlukan terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar telah dilaksanakan
“Dengan melakukan semua ini, kementerian membantu kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kadar 91,000 dos yang diberikan secara mingguan. Sehingga hari ini, lebih dua juta dos telah diberikan pusat ini,” kata Noraini.
Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar di negara ini diutamakan, Kementerian Pengajian Tinggi akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membenarkan pelajar yang belum menerima suntikan vaksin atau menerima temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin secara “walk in” di semua PPV terbuka, mahupun vaksinasi bertarikh untuk masuk ke PPV.
“KPT juga mengorak satu lagi langkah proaktif demi menyantuni kesejahteraan pelajar dengan menyedia dan membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 kepada semua IPT sebagai usaha mengurangkan risiko kesihatan di kampus,” katanya.