Keluarga dibenar lawat banduan sempena Deepavali, kata Jabatan Penjara

Keluarga dibenar lawat banduan sempena Deepavali, kata Jabatan Penjara

Bagi penjara di negeri Fasa 4 PPN, perjumpaan boleh dilaksanakan melalui dua pilihan iaitu secara e-mel jabatan (Icewarp) atau panggilan video dan bersemuka untuk pelawat lengkap divaksin.

Hanya dua pelawat dibenarkan dalam kalangan keluarga yang ditetapkan oleh pihak penjara manakala bagi pelawat warga emas berumur lebih 60 tahun kebenaran diberi adalah bersyarat, iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala, kata Jabatan Penjara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keluarga dibenarkan melawat penghuni penjara bermula 5 hingga 9 Nov ini sempena Deepavali mengikut syarat ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan bagi penjara di negeri yang berada bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 perjumpaan boleh dilaksanakan melalui dua pilihan, iaitu secara e-mel jabatan (Icewarp) atau panggilan video dan bersemuka untuk pelawat yang lengkap divaksin.

“Seorang penghuni hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu.

“Tempahan (pertemuan) boleh dibuat bermula hari ini sehingga 4 Nov melalui sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara juga memaklumkan pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan tidak lebih 30 minit yang juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

“Hanya dua pelawat dibenarkan dalam kalangan keluarga yang ditetapkan oleh pihak penjara manakala bagi pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun kebenaran yang diberi adalah bersyarat, iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelawat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 4 yang telah ditetapkan semasa perjumpaan dan kebenaran perjumpaan secara Icewarp atau panggilan video sahaja terpakai kepada penjara di negeri-negeri yang belum mencapai PPN Fasa 4.

“Orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di www.prison.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.