Dana disalah guna ‘sumpahan bagi orang India miskin’, kata Ramasamy

Dana disalah guna ‘sumpahan bagi orang India miskin’, kata Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyebut mengenai SEDIC, MITRA dan Maika Holdings yang ditubuhkan pada 1980-an oleh MIC.

Maika Holdings, SEDIC dan MITRA ditubuhkan untuk menaik taraf kehidupan masyarakat India.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mengetengahkan beberapa isu penyelewengan dan penyalahgunaan dana awam yang dikhaskan untuk masyarakat India.

Ini termasuk Maika Holdings yang berkait dengan MIC, Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) dan terbaru membabitkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dari semasa ke semasa, percubaan dibuat untuk membantu masyarakat itu melalui parti politik seperti MIC dan sejak kebelakangan ini dana awam diperuntukkan melalui agensi khas untuk membantu kumpulan sasar – masyarakat India yang memerlukan bantuan,” kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

“Bagaimanapun dana yang dimaksudkan untuk menaik taraf (hidup) golongan miskin dirampas untuk memenuhi kepentingan mereka yang menguruskan dana awam itu.

P Ramasamy.

“Malangnya skandal ini dibiarkan berulang dan mereka yang bertanggungjawab terlepas tanpa dihukum,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai “sumpahan ke atas orang India yang miskin”, Ramasamy berkata, Maika, yang ditubuhkan pada 1980-an oleh MIC, bertujuan untuk menggembleng dana daripada masyarakat bagi tujuan pelaburan.

Katanya, hampir RM100 juta dikutip daripada ahli parti untuk melancarkan dana itu bawah bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Jika syarikat berkenaan menguruskan dana secara berhemat, katanya, masyarakat India sudah memiliki aset bernilai beberapa bilion ringgit.

“Maika Holdings adalah babak yang menyedihkan dalam kehidupan orang India. Apa yang menyedihkan adalah mereka yang bertanggungjawab ke atas keruntuhan Maika Holdings tidak pernah didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya.

Tambahan lagi kata Ramasamy, ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri, SEDIC ditubuhkan dengan dana awam untuk membantu masyarakat berkenaan, namun nasib serupa menimpanya susulan salah urus dana.

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), SEDIC dinamakan semula sebagai MITRA dan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Baru-baru ini, SPRM menahan 16 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana MITRA.

“SEDIC dan MITRA bersalah kerana tidak menyalurkan dana secara langsung kepada kumpulan dan individu yang terjejas. Mereka yang bertanggungjawab ke atas dua pertubuhan ini bersalah kerana tidak menyalurkan dana terus kepada penerima,” katanya.

Ramasamy berkata, idea untuk membantu masyarakat India secara tidak langsung dengan menyalurkan dana kepada badan bukan kerajaan (NGO) adalah “tidak wajar dan sangat tidak beretika”.

“Saya faham sebahagian besar daripada dana yang diperuntukkan mungkin digunakan bagi tujuan pentadbiran NGO, termasuk gaji kakitangan. Dana yang diberikan kepada NGO mungkin disalah guna.

“Saya menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat bukan sahaja salah laku MITRA, tetapi juga pendahulunya, SEDIC,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.