
Beliau berkata, langkah itu termasuk merangka strategi untuk pembangunan bakat tersedia masa hadapan, peningkatan kualiti program akademik dan latihan, keberhasilan pembelajaran lebih saksama, pemanfaatan teknologi baharu dan pengukuhan tadbir urus.
“Aliran pendidikan TVET turut menjadi tumpuan dan terus diperkasa di bawah fokus memperkukuh pemangkin pertumbuhan. Ini dapat dilaksanakan melalui penambahbaikan ekosistem, peningkatan kualiti program yang ditawarkan melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa.
“Ia termasuk memperkenalkan inisiatif Penarafan Tunggal Program TVET dan platform berpusat bagi penawaran dan permintaan TVET (atau TVET Collaboration Hub, TCH). Usaha ini melengkapi inisiatif penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET) dan juga Majlis Penasihat Industri di peringkat nasional,” katanya dalam ucapan pada persidangan meja bulat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.
Noraini berkata, dalam mesyuarat antara MTVET dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada 29 Jun 2021, tiga cadangan dikemukakan oleh pelbagai kumpulan fokus dan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) untuk kelulusan pada mesyuarat seterusnya Nov ini.
“Cadangan itu termasuk Hab Kolaborasi TVET (TCH), Naratif Baharu Kolaborasi Bersinergi Bagi Agenda Pemerkasaan TVET, Penarafan Tunggal Program TVET dan Agenda Pemerkasaan TVET Dipacu Industri Melalui Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan Industri (GIC).
“Ketiga-tiga kertas ini bakal menjadi polisi yang memandu pelaksanaan sistem TVET negara sekiranya diluluskan kelak di peringkat MTVET,” kata Noraini.
Beliau berkata, graduan lepasan politeknik sentiasa menjadi buruan majikan dan ia terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan politeknik bagi tempoh lima tahun sebelum ini melebihi 90%.
Katanya, pada 2018 misalnya, kadar kebolehpasaran graduan politeknik direkodkan sebanyak 96.1% sementara pada 2019 pula ialah 96.7%, walaupun pada 2020 terdapat sedikit penurunan kesan daripada pandemik Covid-19
“Bagi memastikan kurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, penglibatan industri secara aktif amat diperlukan supaya kurikulum yang dibangunkan bersifat ‘Industry Driven Curriculum’,” katanya.
Dari segi inisiatif diterajui industri, Noraini berkata, program WBL@PolyCC menekankan pendekatan mengintegrasikan pembelajaran akademik dan pengaplikasian pembelajaran sebenar di tempat kerja.
Katanya, ia bertujuan meningkatkan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman selain melaksanakan refleksi berstruktur, memberikan pendedahan dan pengalaman industri yang relevan.
“Buat masa ini, terdapat tujuh program WBL@PolyCC yang dilaksanakan di peringkat ijazah sarjana muda di politeknik, enam di peringkat diploma politeknik dan 16 di peringkat diploma Kolej Komuniti.
“Sementara itu, bawah Structured Internship Programme (SIP), inisiatif kolaborasi bersama industri diperluas melalui Talent Enhancement Programme (TEP). Sebanyak 21 industri telah menawarkan SIP kepada 2,188 pelajar tahun akhir untuk menjalani latihan industri dan seterusnya menawarkan mereka penempatan pekerjaan.
“Antara industri terlibat termasuk Malayan Banking Bhd (Maybank), Talent Corp Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.