Mahkamah Tinggi dengar merit aduan anggota tentera dipecat enggan vaksin

Mahkamah Tinggi dengar merit aduan anggota tentera dipecat enggan vaksin

Peguam Negara memutuskan untuk tidak menentang permohonan dikemukakan Wan Ramli Wan Seman untuk semakan kehakiman.

Bekas sarjan tentera Wan Ramli Wan Seman mahu deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya pada 4 Ogos tidak sah, terbatal dan tiada kesan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini akan meneruskan pendengaran merit aduan daripada seorang bekas sarjan tentera yang dipecat kerana enggan menerima vaksin Covid-19.

Ia susulan keputusan Peguam Negara untuk tidak menentang permohonan yang dikemukakan oleh Wan Ramli Wan Seman untuk semakan kehakiman.

Peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse memberitahu hakim Ahmad Kamal Md Shahid ketika prosiding secara atas talian hari ini bahawa pihak berkenaan akan meneruskan penghujahan mengenai perkara substantif kerana tiada tentangan terhadap permohonan yang dibuat.

Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad mengesahkan perkara itu di mahkamah.

Soh berkata, Kamal menetapkan tarikh bagi pengurusan kes pada 11 Nov.

“Kami akan meneruskan untuk memfailkan kertas perundangan bagi pendengaran substantif dan menyampaikannya kepada defendan,” katanya kepada FMT.

Wan Ramli, 39, menamakan Lt-Kol Sharull Hesham Md Yasin, Lt Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai defendan.

Wan Ramli, yang memfailkan permohonan itu bulan lalu, mahu deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya pada 4 Ogos tidak sah, terbatal dan tiada kesan.

Pemohon itu yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan, sepatutnya bersara pada 20 Jan 2023.

Bagaimanapun perkhidmatannya selama 19 tahun ditamatkan Ogos lalu atas dakwaan empat kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau turut hilang pencen yang sepatutnya diterima dalam tempoh 16 bulan lagi.

Sebagai warganegara dan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Wan Ramli berkata, haknya mengikut Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabul.

Disebabkan pemecatannya beliau hilang hak untuk mendapat pencen di bawah Perkara 147 Perlembagaan, iaitu hak yang dilindungi Perkara 13(1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.