Anggap periksa haid kesalahan jenayah, kata kumpulan hak asasi

Anggap periksa haid kesalahan jenayah, kata kumpulan hak asasi

Kumpulan hak asasi wanita berkata pelaku mesti dibawa ke mahkamah.

Dua kumpulan hak asasi wanita meminta garis panduan yang jelas mengenai larangan pemeriksaan haid di sekolah.
PETALING JAYA:
Tindakan pemeriksaan mengejut berhubung pusingan haid pelajar perlu dihukum mengikut undang-undang, kata kumpulan hak asasi wanita Sisters in Islam (SIS).

Seorang jurucakap kumpulan itu berkata, kerajaan mesti memandang serius perkara itu berikutan laporan pada Selasa mengenai kakitangan Kolej Vokasional Setapak didakwa menjalankan pemeriksaan haid ke atas 30 pelajar perempuan berusia 18 hingga 19 tahun yang diminta membuktikan mereka datang haid dengan calitan putik kapas.

“Pemeriksaan haid mesti dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang akan membolehkannya dihukum mengikut undang-undang,” katanya kepada FMT.

Bekas wartawan Tashny Sukumaran menerusi hantaran di Twitter sebelum ini berkata, beliau menerima maklumat mengenai insiden terbabit kira-kira 7.50 malam pada 18 Okt.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin bersama pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan lawatan ke kolej berkenaan untuk berjumpa dan bercakap sendiri dengan pengetua serta guru.

Jurucakap SIS menyifatkan lawatan itu sebagai “langkah positif” dalam menangani isu pemeriksaan haid, namun katanya, ia tidak mencukupi kerana kementerian perlu menyediakan garis panduan jelas bagaimana institusi pendidikan, termasuk sekolah berasrama penuh, patut melayan pelajar mereka.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, komitmen KPM untuk membentuk jawatankuasa penyiasatan pada April “tidak kesampaian”.

“Isu ini mesti ditangani dengan segera dan pelajar mesti dilindungi daripada gangguan dan diskriminasi, manakala pelaku mesti menerima akibatnya,” kata beliau.

Selain garis panduan yang jelas melarang pemeriksaan haid di sekolah, beliau berkata, perlu ada talian atau aplikasi khusus untuk pelajar melaporkan kejadian sedemikian, dengan jaminan tidak dinamakan dan diberi perlindungan kepada pelajar atau kakitangan yang membuat laporan.

“Langkah jangka panjang termasuk pelaksanaan kurikulum merangkumi topik mengenai kepekaan jantina di maktab perguruan,” katanya.

Beliau juga berkata, pelajar yang pernah mengalami pemeriksaan haid dan bentuk gangguan lain boleh menghubungi talian hotline WAO di 03-3000 8858 dan TINA di 018-988 8058 jika mereka memerlukan seseorang untuk berbincang atau membantu dalam memutuskan perkara yang perlu dilakukan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.