
Sarjana politik Jayum Jawan berkata, bagaimanapun Undi18 bukan faktor penentu kemenangan mana-mana pihak yang bertanding.
“PRN12 seharusnya diadakan secepat mungkin dan apabila keadaan kesihatan mengizinkan. Ini kerana kerajaan Sarawak sekarang sudah lama menjalankan fungsi pemerintahan tanpa mandat yang sah.
“Undi18 bukan faktor penentu kemenangan mana-mana pihak yang akan bertanding. Analisis dan pandangan seperti itu adalah tidak tepat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, parti pemerintah seperti takut kepada bayang-bayang sendiri sekiranya timbul kebimbangan berhubung pelaksanaan Undi18 di Sarawak.
“Namun begitu, parti pemerintah dikatakan takut akan Undi18. Ini takut pada bayang-bayang dan mungkin kerana prestasi mereka sebagai wakil dan kerajaan yang tidak baik.
“Justeru mereka yang tidak memberi perkhidmatan cemerlang takut kalah. Itu sentimen betul. Yang tidak memberi perkhidmatan yang baik seharusnya tidak diundi semula, bukan sahaja oleh Undi18 tetapi semua golongan pengundi,” katanya.
Pada 22 Oktober lalu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg, menafikan partinya mahu melaksanakan PRN12 Sarawak tidak lama lagi kerana bimbang berkenaan pelaksanaan Undi18.
Beliau berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana DUN Sarawak sudah meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membenarkan pengundi berusia 18 tahun melaksanakan tanggungjawab mereka.
Mengulas berkenaan PRN12 Sarawak, Jayum berkata, DAP akan kekal mendapat sokongan sebilangan besar pengundi Cina di negeri itu, namun parti itu mungkin berdepan sedikit kemerosotan undi, susulan kegagalan menunaikan janji pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Ini akan mempengaruhi prestasi DAP kali ini. Saya rasa sokongan pengundi Cina Sarawak akan berpatah balik sedikit kepada SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) kerana jika tidak, maka kumpulan itu akan rugi kerana suara mereka tidak didengar dalam kerajaan melalui SUPP yang lemah,” katanya.