Selesai konflik undang-undang Islam, sivil bagi harta alih, kerajaan diberitahu

Selesai konflik undang-undang Islam, sivil bagi harta alih, kerajaan diberitahu

Bekas Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin berkata, konflik itu tidak ditangani dalam pindaan terbaru Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

Bekas Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin berkata, konflik kerap berlaku antara undang-undang syariah dan sivil, contohnya apabila seorang mualaf tidak menukar penama bagi akaun KWSP.
PETALING JAYA:
Putrajaya mesti menangani masalah melibatkan harta alih milik mualaf yang memeluk Islam sebelum kematian mereka, kata bekas Menteri Undang-undang Hanipa Maidin.

Harta alih merujuk kepada aset barang kemas, kenderaan, wang dalam akaun bank atau komputer, tetapi tidak termasuk tanah atau bangunan.

Hanipa berkata, dalam segelintir kes melibatkan wang dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pencarum tidak menukar penama selepas bertukar agama.

Katanya, ini mewujudkan konflik antara undang-undang syariah dan sivil apabila melibatkan pengurusan harta pusaka si mati.

Hanipa Maidin.

Undang-undang syariah tidak membenarkan orang bukan Islam menjadi pentadbir harta pusaka milik seorang Muslim, katanya. Tambah beliau, apabila seseorang memeluk Islam, hartanah mereka menjadi “hartanah Muslim”.

“Pindaan terbaru ini seolah-olah tidak menyentuh perkara itu. Ini akan mengakibatkan masalah pada masa depan,” katanya kepada FMT, merujuk kepada pindaan ke atas Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang diluluskan semalam.

Hanipa membangkitkan isu itu semalam ketika membahaskan pindaan berkenaan.

Ahli Parlimen Sepang itu kemudian membandingkan perkara itu dengan pertikaian hak penjagaan anak melibatkan pasangan berbeza agama yang turut mengalami komplikasi sama dari segi undang-undang yang patut diguna pakai dalam keadaan seperti itu.

“Rundingan sewajarnya diperlukan kerana melibatkan Muslim dan bukan Muslim.”

Hanipa berpendapat rang undang-undang itu diluluskan dengan terburu-buru, apatah lagi ia dilakukan lewat ketika tidak ramai Ahli Parlimen berada di Dewan.

Beliau turut mendakwa pembangkang tidak diajak berbincang mengenai cadangan pindaan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.