
Naib Presidennya, Varughese Abraham berkata, jawatankuasa mereka tidak tahu menahu mengenai status “kehilangan” wang berjumlah RM110,000 daripada akaun terbabit.
Katanya, beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan FMT pada Isnin bahawa Muthu, yang juga Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), telah melaburkan wang itu dalam pelbagai jenis perniagaan.
Muthu memberitahu FMT, wang itu dimasukkan ke akaun simpanan peribadinya untuk membuat pelaburan bagi pihak SAA dan memperolehi keuntungan sebanyak RM55,000 sejak tiga tahun lalu.
Abraham berkata, ahli jawatankuasa utama bingung dengan kenyataan Muthu bahawa sebagai presiden, dia tidak perlu mendapatkan kelulusan mereka atau ahli gabungan.
Katanya, presiden terikat di bawah Fasal 17 (17.1) Perlembagaan SAA untuk menjelaskan rancangan kewangan kepada jawatankuasa utama yang sama-sama bertanggungjawab terhadap cara dana digunakan.
Menurutnya, sebarang tindakan untuk mengeluarkan wang melebihi RM25,000 adalah tertakluk kepada kelulusan oleh semua gabungan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di bawah Fasal 22 (22.6) perlembagaan.
Abraham berkata, dakwaan Muthu mengenai keuntungan RM55,000 daripada pelaburan itu juga tidak ditunjukkan dalam penyata akaun persatuan.
“Niatnya mungkin baik tetapi wang itu milik SAA dan dia mengendalikan persatuan dengan sikap autokratik dan menyebabkan semua orang tidak tahu,” katanya.
Abraham berkata, Muthu gagal memberi penjelasan kepada ahli mengenai akaun simpanan tetap walaupun diminta berbuat demikian selepas didedahkan oleh bekas Bendahari Murugam Ramasamy.
Muthu disingkirkan daripada jawatan Presiden SAA dan keahlian seumur hidupnya juga ditarik balik seperti diputuskan dalam EGM persatuan yang dihadiri 39 ahli, susulan dakwaan penyelewengan itu.
Mesyuarat itu turut meluluskan usul sama terhadap bekas Setiausaha SAA, Abdul Rahim Mohd Noor dan bekas Bendahari Mohd Fauzi Manivannan Abdullah.
Ketiga-tiga mereka juga diminta menjelaskan mengenai “kehilangan” wang sebanyak RM16,000 membabitkan insentif atlet dan dana pembangunan yang disalurkan kepada persatuan itu oleh Majlis Sukan Negeri Selangor.
Muthu membuat laporan polis pada Isnin dengan mendakwa EGM itu tidak sah dan telah diprovokasi oleh mereka yang cuba mencemarkan nama serta menyingkirkannya daripada badan itu menjelang AGM pada 7 Nov nanti.
Abraham berkata, beliau mengadakan EGM itu selepas Muthu gagal memberi jawapan bertulis pada 27 Sept kepada 16 ahli untuk membincangkan dakwaan salah guna wang daripada akaun simpanan tetap itu.
Katanya, salinan surat itu telah dihantar kepada pesuruhjaya sukan dan keengganan Muthu untuk mengadakan EGM seperti diminta oleh ahli telah melanggar Klausa 16 (16.1 c) perlembagaan.
Muthu dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau bersedia membincangkan isu itu secara terperinci dalam AGM akan datang.
Bagaimanapun Abraham berkata: “Hanya EGM mempunyai satu agenda dan butiran terperinci mengenai isu itu boleh dibincang secara panjang lebar, bukannya di AGM”.
Katanya, ahli juga hairan mengapa Muthu tidak menghadiri EGM atau membangkitkan perkara itu dalam empat AGM yang diadakan sebelum ini.
“Jika Murugan tidak mendedahkan isu ini atau meletakkan jawatan disebabkan perkara ini, ia langsung tidak diketahui,” katanya.
Katanya, ahli juga kecewa apabila Muthu mengubah tarikh asal AGM yang dijadualkan pada 12 Dis kepada 7 Nov biarpun setiausaha dan bendaharinya telah meletak jawatan selain menggesa pesuruhjaya sukan untuk campur tangan dalam isu terbabit.