
Disebabkan berlakunya peningkatan kes Covid-19, sebuah kumpulan hospital baru-baru ini memuat naik mesej di media sosial menawarkan jawatan secara kontrak kepada MO Malaysia untuk bekerja di negara itu.
Selain tawaran gaji yang “cukup menarik”, pengiklan berkata, doktor di negara ini akan dibantu untuk menyiapkan segala dokumentasi diperlukan bagi membolehkan mereka memulakan tugas segera.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, MO yang berminat, perlu meletakkan jawatan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu dan tidak boleh kembali berkhidmat semula.
“Mereka yang berhasrat untuk mengikuti latihan kepakaran akan menjejaskan peluang sendiri dengan menerima tawaran ini melainkan mereka merancang untuk meneruskan latihan itu di tempat lain.”
Koh berkata, hanya mereka yang telah tamat tempoh perkhidmatan wajib selama empat tahun dengan kementerian dan bercadang untuk meninggalkan perkhidmatan awam akan melihatnya sebagai peluang baik untuk bekerja secara sementara di sana.
Pada masa yang sama katanya, mereka boleh memikirkan mengenai kemungkinan untuk berkhidmat dalam sektor perubatan swasta.
“Jika Singapura menawarkan lanjutan kontrak yang boleh diperbaharui, lebih ramai MO kita akan tertarik,” katanya.
“Lebih menarik jika mereka menawarkan program pasca siswazah kepada doktor Malaysia itu. Bagaimanapun ia tidak mungkin berlaku,” katanya yang menambah bahawa isu doktor kontrak harus diselesaikan segera sekiranya kerajaan mahu mengatasi masalah penghijrahan doktor.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) Dr Steven Chow turut bersetuju bahawa tidak ramai MO yang akan mempertimbangkan tawaran Singapura itu.
Menurutnya, Malaysia melahirkan “ribuan” doktor setiap tahun dan negara seperti Singapura tidak berupaya untuk menyerap begitu ramai tenaga kerja itu ke dalam sistem mereka.
Katanya, walaupun ia mungkin menawarkan prospek pengembangan kerjaya yang menarik namun sudah tentu kerajaan mereka akan mengutamakan rakyatnya sebelum memberi peluang kepada warga asing.