Selesai isu tanah untuk percepat naik taraf, bina semula sekolah daif, kata Radzi

Selesai isu tanah untuk percepat naik taraf, bina semula sekolah daif, kata Radzi

Menteri Pendidikan itu berkata, kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan jika tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif bukan hak milik persekutuan.

Isu pemutihan tanah di seluruh negara perlu diselesaikan segera bagi membolehkan projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dijalankan, kata Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kementerian Pendidikan mahu isu pemutihan tanah di seluruh negara diselesaikan segera bagi membolehkan projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif disegerakan, terutamanya di Sarawak.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin berkata, sekiranya tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif bukan tanah hak milik persekutuan, maka kerja pembinaan tidak akan dapat dijalankan.

“Itu antara perkara yang dibincangkan oleh saya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia (pusat pentadbiran kerajaan Sarawak di Kuching) semalam.

“Jika kita lihat kepada perkara paling asas untuk diselesaikan, insya Allah pada masa akan datang, apabila isu tanah itu selesai, maka prosesnya akan lebih cepat serta teratur,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Samariang di sini.

Sementara itu, Radzi berkata, sejak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan penjawat awam diwajibkan mengambil vaksin Covid-19, sesetengah guru yang dilaporkan enggan menerima vaksin mula mendapatkan dos pertama mereka.

“Kita telah menerima senarai terkini selepas perkara itu diumumkan, ada guru telah mendapatkan dos pertama, maka kita sedang memantau keadaan semasa.

“Apa yang paling penting adalah sekiranya guru yang tidak divaksin ini menjejaskan operasi sekolah, tindakan segera akan diambil, termasuk membuat pertukaran, terutamanya guru Pendidikan Khas yang sentiasa bersama murid secara fizikal dengan murid berkeperluan khas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.