Pemimpin BN, PN tak hirau saya ketika positif Covid-19, dakwa Nor Azman

Pemimpin BN, PN tak hirau saya ketika positif Covid-19, dakwa Nor Azman

Penyandang DUN Pantai Kundor itu berkata, paras oksigen badannya turun sehingga 80% dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Nor Azman Hassan berkata, hanya bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron serta Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Rahmad Mariman yang mengambil berat terhadapnya ketika dijangkiti Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Nor Azman Hassan mendakwa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak prihatin dengannya ketika beliau dijangkiti Covid-19 bulan lalu.

Beliau berkata, hanya penyandang DUN Sungai Udang Idris Haron serta Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Rahmad Mariman mengambil berat terhadapnya berbanding hampir keseluruhan pemimpin BN, khususnya Umno, yang tidak mengendahkan kesihatannya.

Katanya, beliau dijangkiti Covid-19 mulai 13 Sept lalu, sebelum menjalani kuarantin kendiri dan dimasukkan ke Hospital Melaka pada 22 Sept lalu akibat muntah serta pening.

Beliau berkata, oksigen dalam badannya turun sehingga bawah 80% dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Alhamdulillah, Allah panjangkan umur saya dan beri lagi peluang untuk saya bernafas sebelum dibenarkan keluar wad pada 28 Sept lalu.

“Tiada seorang pun pemimpin Umno, BN dan PN yang menghubungi saya, sama ada menelefon atau melalui aplikasi WhatsApp, tetapi saya sanjung tinggi budi Idris dan Rahmad yang sentiasa menghubungi saya dan mengambil berat keadaan saya ketika itu,” katanya dipetik Berita Harian.

Azman dan Idris serta dua lagi wakil rakyat, Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali pada 4 Okt lalu menyebabkan kerajaan Melaka tumbang.

Sementara itu, Azman turut menafikan dakwaan beliau meletak jawatan Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 2015 kerana tidak mendapat habuan daripada projek pembangunan di Jasin.

Sebaliknya beliau berkata, faktor sebenar beliau meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pegawai khas kepada seorang individu berjawatan tinggi di MBMB yang mengarahkan gerai peniaga Bumiputera di Bandar Hilir disita.

“Saya cuba menghalang gerai peniaga terbabit disita kerana mereka sudah lama berniaga di kawasan itu, tetapi ketidakprihatinan segelintir orang atasan di MBMB menyebabkan peniaga terbabit tidak dapat berniaga di kawasan itu lagi.”

Katanya, beliau tidak pernah kecil hati tidak diberikan peluang melaksanakan projek pembangunan di Jasin kerana masih mampu meraih keuntungan daripada perniagaan minyak dan gas yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.