Bincang hak kanak-kanak, Ain jadi panelis persidangan Unicef

Bincang hak kanak-kanak, Ain jadi panelis persidangan Unicef

Ain Husniza Saiful Nizam yang mendakwa gurunya membuat kenyataan berbentuk lucah dan seksis dalam kelas, dipilih kerana usahanya dalam pergerakan #MakeSchoolASaferPlace.

Ain Husniza Saiful Nizam dijangka mengongsikan pandangan dan cadangan mengenai keadaan semasa hak kanak-kanak di Malaysia.
PETALING JAYA:
Ain Husniza Saiful Nizam, pelajar sekolah yang terkenal selepas mendedahkan kenyataan didakwa seksis dan lucah oleh seorang guru lelaki, dijemput menyertai panel bersama Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Keganasan Terhadap Kanak-kanak, Najat Maalla M’jid.

Dalam hantaran di Facebook, bapanya Saiful berkata, perbincangan itu adalah sebahagian daripada Persidangan “Inspire” Unicef Asia Timur dan Pasifik yang berlangsung secara maya dari 1 hingga 5 Nov.

Hanya tujuh orang dari rantau ini termasuk Ain dijemput sebagai panelis dalam sesi itu.

“Dalam perbincangan tersebut, Ain Husniza akan menyuarakan pandangan serta cadangan berkenaan situasi semasa hak kanak-kanak di Malaysia, terutamanya dari aspek akses pendidikan berkualiti, meningkatkan tahap keselamatan di sekolah, kesejahteraan minda, polisi dan sebagainya,” katanya.

Tema persidangan itu adalah “Ending Violence Against Children during Covid-19 & Beyond” (menamatkan keganasan terhadap kanak-kanak ketika Covid-19 dan selanjutnya) yang akan distrim di Facebook dan Zoom.

Ain dipilih susulan usahanya memacu pergerakan media sosial #MakeSchoolASaferPlace.

Beliau pertama kali mendapat perhatian pada April selepas mengongsikan video di TikTok menceritakan gurauan rogol yang dibuat oleh guru pendidikan jasmaninya.

Selepas video itu menjadi tular, ramai yang lain turut mengongsikan pengalaman sendiri seterusnya mencetuskan perbincangan dalam talian mengenai keselamatan pelajar di sekolah.

Pada Ogos, Saiful berkata, Ain telah disaman fitnah RM1 juta oleh guru berkenaan. Ini selepas polis berkata, tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap guru berkenaan.

Ibu bapa Ain kemudian memfailkan saman balas berjumlah RM5 juta kerana menyebabkan tekanan emosi terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.