Songlap simpanan tetap pelanggan beli jongkong emas, pegawai bank ditahan

Songlap simpanan tetap pelanggan beli jongkong emas, pegawai bank ditahan

Pegawai bank antarabangsa itu disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah amanah bernilai kira-kira RM4 juta.

Satu kes telah dituduh di mahkamah pada 27 Sept lepas manakala enam lagi sedang disiasat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai bank antarabangsa ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah amanah bernilai kira-kira RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Cheras, di sini, pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata lelaki itu yang berkhidmat sebagai pengurus perhubungan pelanggan disyaki melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa bagi membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

Mohd Kamarudin berkata setakat ini satu kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 Sept lepas manakala enam lagi sedang disiasat.

“Kita percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek namun belum membuat laporan polis. Mereka yang terbabit dinasihatkan tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.