PRN Sarawak: GPS anggap ‘dacing’ tiada nilai, bahagi kerusi dengan PN pun tak perlu, kata penganalisis

PRN Sarawak: GPS anggap ‘dacing’ tiada nilai, bahagi kerusi dengan PN pun tak perlu, kata penganalisis

Penganalisis politik Jayum Jawan berkata logo 'dacing' tidak lagi bernilai di Sarawak kerana BN sudah kalah pada PRU14.

Jika Barisan Nasional bertanding di Sarawak sekalipun, ia pasti tidak mendapat sambutan seperti sebelum ini, kata Sarjana Politik, Jayum Jawan.
PETALING JAYA:
Dasar rakan di persekutuan, bukan di negeri, akan membayangi hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, terutama membabitkan pembahagian kerusi antara Bersatu dan PAS.

Sarjana politik, Jayum Jawan, berkata GPS dijangka bertanding bersendirian dengan sasaran membentuk semula kerajaan negeri, selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN), yang digambarkan tidak bernilai lagi di negeri itu, sejurus kekalahan BN di pusat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Apapun nilai dacing sudah tiada di Sarawak. Rakyat Sarawak tahu bahawa dacing sudah kalah pada 2018 dan tidak lagi memerintah. Maka, jika adapun dacing bertanding pada PRN12, ia pasti tidak akan mendapat sambutan seperti sebelum ini.

“Sarawak menyokong orang yang menang, bukan orang yang kalah. Kenapa GPS diwujudkan? Kerana BN (dacing) kalah, dan sokongan diberi kepada yang menang, sama ada secara langsung atau tidak,” kata kepada FMT.

Jayum Jawan.

Mengulas lanjut, Jayum berkata GPS tidak memerlukan Bersatu dan PAS untuk membantu mereka menang PRN12 Sarawak.

“Lazimnya, parti pemerintah tidak akan berkongsi dengan rela. GPS adalah parti yang menang, dan dari sudut itu tiada keperluan GPS mahu berkongsi dengan mana-mana parti atau gabungan parti bagi menghadapi PRN12,” katanya.

Pada 22 Sept lalu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata (GPS) curiga dengan tindakan PN secara mengejut menubuhkan pejabat perhubungan negeri di Sarawak, beberapa hari sebelum itu.

Katanya, Sarawak bukan anggota PN, namun lebih kepada formula PN+GPS, yang bermaksud rakan politik di peringkat persekutuan sahaja, namun tidak di peringkat negeri.

PBB adalah parti tunjang kepada GPS, selain gabungan itu dianggotai Parti Rakyat Bersatu (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada 12 Jun 2018, keempat-empat parti itu keluar daripada BN selepas 33 hari kekalahan parti itu di peringkat pusat pada PRU14. Sarawak dikuasai BN lebih 40 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.