PRN Melaka: Bersatu selaras SOP kempen, akur ketetapan KKM, kata Kiandee

PRN Melaka: Bersatu selaras SOP kempen, akur ketetapan KKM, kata Kiandee

Naib Presiden Bersatu berkata walaupun SOP ditetapkan sedikit-sebanyak memberi kesan kepada kelancaran kempen calon yang bertanding namun akur dengan ketetapan dibuat.

Ronald Kiandee berkata, pelarasan harus memberi kesamarataan kepada semua dan tidak hanya melibatkan satu parti kerana SOP terpakai kepada semua ketika PRN berlangsung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu akan membuat pelarasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Naib Presidennya Ronald Kiandee.

Beliau berkata, pelarasan SOP itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan beberapa larangan termasuk berhimpun sepanjang berlangsungnya PRN Melaka.

Kiandee, yang mengakui SOP ditetapkan sedikit-sebanyak memberi kesan kepada kelancaran kempen calon yang bertanding berkata, bagaimanapun Bersatu terpaksa akur dengan ketetapan tersebut.

“Sudah tentu (larangan berhimpun) akan mengganggu aktiviti kempen seperti sedia kala, jadi kita terpaksa buat pelarasan.

“Tapi pelarasan harus memberi kesamarataan kepada semua dan tidak hanya melibatkan satu parti kerana SOP terpakai kepada semua ketika PRN,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Kiandee mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula hari ini hingga 27 Nov.

Khairy dilaporkan berkata, SOP yang bakal diumumkan oleh SPR terpakai waktu kempen bermula membuatkan KKM khuatir ada banyak majlis politik sebelum itu yang tidak mematuhi SOP.

Mengulas lanjut, Kiandee berkata, apa sahaja SOP dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar dipatuhi sebagaimana dilaksanakan sejak hampir dua tahun semasa negara berdepan pandemik Covid-19.

“Saya rasa kita perlu akur kepada SOP. Sejak dua tahun lalu, kita sentiasa patuh dan mengikuti apa sahaja SOP dikeluarkan MKN dan KKM.

“Jadi tiada beza ketika berhadapan dengan pilihan raya, tentu sekali semua pihak perlu akur apa sahaja SOP ditetapkan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.