
Tarikh itu serentak dengan hari penamaan calon bagi 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Peguam Adly, Razlan Hadri Zulkifli berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Noorin Badaruddin pada 9 pagi.
Adly, Ketua Menteri Melaka ketika pentadbiran Pakatan Harapan, perlu mendapat izin mahkamah sebelum merit permohonannya itu boleh didengar. Beliau mahu Mahkamah Tinggi membatalkan writ yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Okt lalu.
Dalam permohonan difailkan minggu lalu, Adly menamakan penggantinya, Ketua Menteri “caretaker” Sulaiman Md Ali, bekas Speaker DUN Ab Rauf Yusoh, SPR dan Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam sebagai responden.
Kerajaan negeri Perikatan Nasional tumbang selepas tiga Exco meletak jawatan dan seorang ADUN Umno menarik sokongan kepada Sulaiman. Sulaiman kemudian menasihati Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 4 Okt.
Adly memohon perintah mahkamah bahawa nasihat Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri dan pengumuman pembubaran DUN, ditangguhkan sehingga perkara itu diputuskan oleh mahkamah.
Dalam afidavit menyokong permohonannya, beliau berkata Sulaiman tidak boleh menasihati Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan untuk memberi laluan bagi PRN diadakan, kerana beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN.
Sulaiman dikatakan hanya mempunyai sokongan 11 wakil selepas empat ADUN menarik sokongan mereka terhadapnya, manakala PH mempunyai 13 daripada 28 kerusi DUN itu.
Tambahan, Adly mahu deklarasi pembubaran pada 4 Okt lalu, yang diwartakan keesokannya, terbatal dan tidak sah atas alasan dibuat tanpa pengetahuan Yang Dipertua Negeri.
Adly juga mahu perisytiharan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri dibatalkan segera.