Culik ahli perniagaan, mahkamah kekalkan hukuman penjara 30 tahun, 10 sebatan

Culik ahli perniagaan, mahkamah kekalkan hukuman penjara 30 tahun, 10 sebatan

Kamaruzaman Mohamed Shah gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi kesalahan dilakukan pada 2011.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Kamaruzaman Mohamed Shah kerana menculik seorang ahli perniagaan.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas peniaga perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan kerana menculik seorang ahli perniagaan melibatkan wang tebusan RM500,000 selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Vernon Ong Lam Kiat ketika menolak rayuan Kamaruzaman Mohamed Shah berkata, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi terhadapnya adalah sahih.

“Kami mendapati bukti yang sangat banyak telah dikemukakan oleh pendakwaan yang mengaitkan perayu (Kamaruzaman) dengan kesalahan itu,” kata Ong yang bersidang bersama Abdul Rahman Sebli dan Zabariah Mohd Yusof.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Melaka mengarahkan hukuman itu ke atas Kamaruzaman dan dua yang lain kerana menculik Tan Tiang See.

Dua lagi tertuduh kes itu, iaitu pembantu kedai, Sulaiman Abdul Kadir dan pekerja kilang, Farezzuwan Mohd tidak mengemukakan rayuan.

Kesemuanya didakwa bersama dua lagi yang masih bebas kerana tuduhan menculik Tan supaya wang tebusan RM500,000 dibayar oleh abang mangsa.

Tan diculik di sebuah gudang di Taman Perindustrian Cheng di Melaka dan dikurung di sebuah rumah di Jalan Cengal 1, Taman Merdeka, Batu Berendam pada 14 Feb 2011.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat.

Hakim Mahkamah Tinggi Zulkifli Abu Bakar berkata, beliau memilih untuk tidak mengenakan hukuman mati kerana tertuduh tidak menerima wang tebusan itu, selain mengambil kira mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada 2019.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid manakala Kamaruzaman diwakili peguam K A Ramu.

Sementara itu, selepas keputusan itu dibacakan, Kamaruzaman meminta mahkamah membenarkannya menjalani hukuman di Penjara Kluang kerana lebih dekat dengan keluarganya yang tinggal di Simpang Renggam.

“Saya telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Ong bagaimanapun berkata, mahkamah tiada bidang kuasa untuk menentukan lokasi di mana banduan menjalani hukumannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.