Sekolah di Johor, Terengganu dibuka 7 Nov, kata KPM

Sekolah di Johor, Terengganu dibuka 7 Nov, kata KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata ia susulan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi dua negeri itu yang akan beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 bermula esok.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata sekolah kerajaan bawah kementerian di Johor dan Terengganu bagaimanapun akan memulakan operasinya pada 8 Nov susulan 7 Nov adalah cuti sempena perayaan Deepavali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Johor dan Terengganu akan mula beroperasi mulai 7 Nov.

KPM dalam kenyataan berkata, ia susulan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan dua negeri berkenaan akan beralih dari Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 4 bermula esok.

“KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian adalah mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 25 Oktober 2021,” katanya.

KPM berkata, sekolah kerajaan bawah KPM di dua negeri berkenaan bagaimanapun hanya akan memulakan operasinya pada 8 Nov susulan 7 Nov adalah cuti sempena Deepavali.

Katanya, ia turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

Bagaimanapun, institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing.

“Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri Johor dan Terengganu akan bermula pada 14 Nov, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.”

Dalam pada itu, KPM berkata, ketetapan tarikh pengoperasian itu turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah kementerian itu bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.