Politik elit ‘memangsakan’ rakyat, demokrasi hari ini telah diracun, kata PSM

Politik elit ‘memangsakan’ rakyat, demokrasi hari ini telah diracun, kata PSM

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata banyak gerakan politik dan perubahan kepada tampuk pemerintahan diatur oleh kumpulan elit bukannya rakyat.

PSM mengingatkan ahli dan penyokongnya tidak perlu panik dengan penubuhan banyak parti baharu kerana kebanyakan pembentukannya hanya berasaskan individu.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan budaya politik di Malaysia ketika ini lebih kepada politik elit sehingga “memangsakan” rakyat.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berkata banyak gerakan politik dan perubahan kepada tampuk pemerintahan diatur oleh kumpulan elit bukannya rakyat.

“PSM tolak politik elit, PSM mahu bawa politik demokrasi tulen rakyat, kalau kita tengok politik di negara kita ialah politik elit, rakyat tidak menukar Perdana Menteri, yang menukar Perdana Menteri adalah mereka yang melompat parti.

“Kini kita kena adakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka bukan disebab rakyat mahu menukar kerajaan, tapi disebabkan ADUN lompat parti maka pilihan raya diadakan dan rakyat disusahkan.

“Itu sebab kita cakap politik elit. Kita mahu bawa demokrasi tulen kerana demokrasi yang ada hari ini telah diracunkan,” katanya ketika berucap sempena Kongres Nasional PSM yang diadakan dalam talian.

Banyak parti baharu

Sementara itu, Arutchelvan turut mengingatkan ahli dan penyokong PSM tidak perlu panik dengan penubuhan banyak parti baharu kerana kebanyakan pembentukannya hanya berasaskan individu.

“Akhir-akhir ini kita ada banyak parti politik, ada PEJUANG, MUDA dan Parti Kuasa Rakyat, malah logo Parti Kuasa Rakyat mirip PSM, jadi ahli PSM jangan panik.

“Banyak parti mereka dikenali contohnya PEJUANG dikenali parti Dr Mahathir Mohamad, MUDA dikenali sebagai parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Jadi jangan kita panik, sebab PSM tetap dikenali parti sosialis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.