
Pengerusi GRS, Hajiji Noor berkata, cadangan PH Sabah itu akan diteliti terlebih dahulu dan beliau belum boleh membuat sebarang kenyataan lanjut sebelum mengadakan perbincangan bersama semua presiden dan pengerusi parti komponen GRS.
GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (Umno, MCA, MIC dan PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menemui beliau baru-baru ini dan membangkitkan cadangan berkenaan.
“Tetapi, dalam perkara ini, saya belum boleh membuat sebarang ulasan (lanjut) sehingga saya duduk berbincang dengan rakan-rakan parti dalam GRS. Kita akan meneliti cadangan ini dan kemudian buat kenyataan,” katanya kepada pemberita di sini.
Hajiji mengulas rancangan pemimpin PH Sabah menandatangani MoU dengan kerajaan GRS, seperti perjanjian PH dengan Putrajaya yang dimeterai bulan lalu.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau berkata, MoU itu bertujuan menjalin kerjasama bipartisan demi mencapai kestabilan politik di Sabah.
PH Sabah difahamkan mengadakan mesyuarat berhubung pemeteraian MoU itu malam tadi, sama ada akan meneruskan rancangan berkenaan dalam keadaan semasa atau sebaliknya.