
Ini bermakna semua pengembara dari Malaysia perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah atau kediaman yang diisytiharkan dalam Notis Tinggal di Rumah (SHN) di Singapura bermula 27 Okt ini.
Peraturan ke atas pengunjung Malaysia itu serta ahli keluarga mereka dibuat secara menyeluruh tanpa mengira status vaksin dan sejarah perjalanan mereka, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19 hari ini.
Selain Malaysia, negara lain yang bakal dimasukkan dalam kategori III adalah Kemboja, Mesir, Hungary, Indonesia, Israel, Mongolia, Qatar, Rwanda, Samoa, Seychelles, Afrika Selatan, Tonga, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.
Singapura melaksanakan penetapan empat kategori negara atau rantau pada Ogos lalu dengan kadar vaksinasi populasi sesebuah negara atau rantau menjadi asas menentukan langkah kawalan di sempadan.
Keadaan Covid-19 di Malaysia semakin baik secara ketara, dengan 94.4% penduduk dewasanya sudah lengkap divaksin setakat semalam.
MTF dalam kenyataan berkata, berdasarkan syarat dalam kategori itu, mereka tidak akan ditempatkan di kemudahan khas SHN.
“Penduduk yang pulang seharusnya memastikan sudah mempunyai kediaman alternatif terlebih dulu, andainya rumah mereka tidak sesuai dijadikan SHN.”
Bagaimanapun, MTF menegaskan, jika mereka yang memasuki negara itu tinggal di kediaman dihuni individu belum divaksin serta berisiko, mereka amat digalakkan menjalani kuarantin di dalam bilik serta mengurangkan kontak dengan penghuni rumah yang lain.
Mengenai prosedur saringan, mereka yang tertakluk dalam kuarantin kategori III tidak lagi perlu menjalani ujian saringan Antigen Rapid Test (ARTs) pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di negara itu.
Ini termasuk mereka yang tiba bermula 22 Okt.
Semua yang tiba menerusi senarai Kategori III juga tidak lagi perlu menjalani saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) sewaktu ketibaan dan hanya perlu menjalani ujian PCR pada tarikh akhir tempoh SHN.
Bagaimanapun, bagi Pemegang Pas Jangka Panjang (LTPH) yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), mereka mungkin perlu mematuhi beberapa peraturan dan syarat tambahan.
“Kami akan terus mengubah suai langkah kawalan sempadan sejajar perkembangan keadaan dunia supaya kami dapat kembali menyambung hubungan dengan dunia dan memulihkan kedudukan ekonomi republik ini di peringkat global.”
Bagi mereka yang tiba di republik itu tetapi bukan warga Singapura atau pemegang pas pemastautin, mereka boleh berada di Singapura untuk tempoh singkat, andai mereka tiba dari negara Kategori I, kecuali mereka sudah disenarai dalam peraturan perjanjian Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) atau Laluan Khas Hijau.