
Karim menjual sebahagian warannya awal bulan ini sebelum melupuskan baki 55.9 juta waran semalam dan kemudian menggunakan hasil jualan itu bagi memperoleh saham induk dalam Serba Dinamik.
Karim berkata, pelupusan saham itu adalah keputusan perniagaan semata-mata kerana syarikat itu mempunyai tempahan penuh dan banyak perancangan untuk masa depan.
Harga urus niaga itu tidak diketahui, tetapi ia telah meningkatkan kepentingan Karim dalam syarikat itu kepada 21.225%.
Pengumuman urus niaga itu susulan kenyataan Bursa Malaysia semalam yang dagangan sekuriti Serba Dinamik ditangguhkan dari 2.30 petang sehingga diberitahu kelak.
“Penggantungan itu tertakluk kepada perenggan 16.02(1)(c) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama bagi mengekalkan pasaran teratur dan adil terhadap dagangan sekuriti Serba Dinamik.
“Oleh itu, semua waran berstruktur berkaitan Serba Dinamik juga akan ditangguhkan pada masa sama,” kata Bursa Malaysia.
Ia turut mengeluarkan arahan kepada Serba Dinamik untuk mengumumkan penemuan kajian semula khas bebas (SIR) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) bagi menangani isu pengauditan yang dibangkitkan bekas juruaudit luarnya, KPMG Ltd.
Tarikh akhir untuk pengumuman penemuan itu ditetapkan Selasa ini.
Sementara itu, salah seorang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Serba Dinamik yang baharu dilantik, Johan Mohamed Ishak berkata, keutamaan syarikat itu telah diteliti semula dan kini, kebajikan pemegang taruh serta pekerja perlu dijaga.
“Pengarah, ED (Pengarah Eksekutif) bebas dan jawatankuasa audit perlu bersikap dinamik dalam meneliti perkara ini, serta aspek lain firma. Urus niaga sedia ada syarikat lebih penting daripada isu audit itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, Serba Dinamik giat mendapatkan kontrak.
Ogos lalu, syarikat itu mengumumkan, ia melalui anak syarikatnya di Malaysia dan Indonesia mendapat 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M), kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Ia juga memperoleh kontrak daripada Hydro Village Private Ltd untuk projek hidrokuasa di Nepal serta tujuh kontrak tempatan lain yang belum didedahkan, berjumlah lebih RM286.3 juta.
“Kami juga mendapat kontrak EPCC melalui anak syarikat milik penuh kami, Serba Dinamik International Ltd, melibatkan projek Hidrokuasa Myagdi Khola 57.3 megawatt (MW) di wilayah Gandaki, Nepal, bersama kontrak lain dari Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd,” kata syarikat itu.
Walaupun isu pengauditan mungkin memperlahankan perniagaannya tahun ini, tetapi Serba Dinamik pastinya tidak akan berhenti dan berazam untuk kembali ke landasan bagi mencapai kejayaan lebih besar.