Restoran nasi kandar tertua di P Pinang kekurangan pekerja

Restoran nasi kandar tertua di P Pinang kekurangan pekerja

Pemilik restoran Restoran Hameediyah berkata cawangan di Pulau Pinang itu kini beroperasi dengan hanya separuh daripada jumlah tenaga kerja mereka.

Restoran Hameediyah sedang mencari lebih ramai pekerja bagi menampung kebanjiran pengunjung ke negeri itu susulan kebenaran merentas negeri. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah, berdepan masalah kekurangan pekerja ekoran penguatkuasaan perintah kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebelum ini.

Pemilik restoran tersebut, Ahamed Seeni Pakir berkata cawangan di Pulau Pinang itu kini beroperasi dengan hanya separuh daripada jumlah tenaga kerja mereka.

Beliau berkata memandangkan perjalanan merentas negeri telah dibenarkan, pihaknya sedang mencari lebih ramai pekerja bagi menampung kebanjiran pengunjung ke negeri itu yang singgah makan di restoran berkenaan.

“Kita telah cuba mengambil orang tempatan dengan menawarkan gaji bulanan RM1,800 dan faedah-faedah lain, tetapi mereka tidak berminat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata Hameediyah adalah antara 200 restoran nasi kandar di Pulau Pinang yang sedang berdepan isu kekurangan kakitangan.

Beliau menjelaskan isu itu timbul apabila pekerja warga asing restoran tersebut tidak dapat kembali ke Malaysia selepas mereka pulang ke negara masing-masing, sebelum PKP pertama dilaksanakan tahun lepas.

“Sebelum pandemik, terdapat kira-kira 40,000 orang pekerja yang terdiri daripada warga tempatan dan asing, tetapi selepas pandemik, kita ada kira-kira 20,000 pekerja sahaja,” katanya.

Beliau berharap kerajaan akan meneliti untuk membawa masuk semula pekerja warga asing ke Malaysia supaya restoran dapat menerima lebih ramai pelanggan sekali gus meringankan beban restoran terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.