PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia bantu anak terjejas Covid-19

PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia bantu anak terjejas Covid-19

Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 5,173 kanak-kanak menjadi anak yatim dan yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob (tengah) pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak malam ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia malam ini untuk membantu kanak-kanak yang menjadi anak yatim piatu akibat pandemik Covid-19, khasnya dalam aspek pendidikan sehingga mereka berusia 18 tahun.

“Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

“Yayasan ini akan melebarkan sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya,” katanya ketika berucap merasmikan konsep Keluarga Malaysia di Kuching, Sarawak yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Setakat ini, katanya, seramai 5,173 kanak-kanak menjadi anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19.

Ismail turut menceritakan kisah 13 anak kecil daripada dua keluarga yang kehilangan tempat bergantung selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

“Nazurah Nabilah Benyajeed yang berusia 19 tahun terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala Hadrami Hasil menjadi ketua keluarga pada usia 11 tahun untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat adiknya.

“Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan kerajaan bukan retorik atau slogan semata-mata, sebaliknya ia adalah semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

“Begitu juga dalam pentadbiran kerajaan hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) yang terkesan akibat pandemik akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.