Nancy bantu wanita Batang Sadong dengan sumbangan peralatan dapur

Nancy bantu wanita Batang Sadong dengan sumbangan peralatan dapur

Menteri itu menyumbangkan peralatan membuat kuih dan kek kepada usahawan wanita serta menggalakkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi menaik taraf hidup komuniti masing-masing.

Nancy Shukri (kiri) menghadiri majlis penyerahan peralatan dapur kepada usahawan wanita di kawasan Parlimennya, Batang Sadong.
BATANG SADONG:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri pulang ke kawasan Parlimennya di sini, hari ini untuk menemui usahawan wanita serta menyumbang barang keperluan bagi memperkasakan kebebasan kewangan mereka.

Beliau menyumbang peralatan dapur kepada usahawan wanita serta menggalakkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi menaik taraf hidup komuniti masing-masing.

Antara peralatan yang disumbangkan termasuk ketuhar elektrik dan gas komersial, pemproses makanan, pengadun serta penimbang digital yang disampaikan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) sebagai sebahagian inisiatif khidmat masyarakatnya.

“Inisiatif ini akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan. Di sini, kita dapat melihat bagaimana wanita benar-benar serius untuk melakukan lebih baik dan mengembangkan perniagaan mereka, serta betapa komitednya mereka bagi menjana pendapatan buat keluarga.

“Ini adalah satu cara untuk kita mewujudkan wanita berdikari. Mereka akhirnya turut membantu generasi muda, bahkan anak lelaki, (dengan meminta mereka bekerja) bersama mereka, khasnya dalam industri batik.

“Ini satu lagi program untuk memberi dorongan kepada penduduk setempat, khasnya mereka yang sudah memulakan perniagaan kecil,” katanya kepada FMT.

Wanita membuat roti dan pastri tempatan di Rumah Usahawan Sadong Jaya.

Di Rumah Usahawan Sadong Jaya, wanita diberikan peluang dan ruang untuk menjual masakan, kek atau kuih buatan sendiri, menghasilkan produk batik, menjahit pelitup muka dan mempelajari kemahiran baharu.

Inisiatif MyCSR membolehkan peserta industri acara menyumbang kepada usaha sosial, dengan inisiatif sebelum ini termasuk penanaman pokok dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, mengagihkan basikal kepada rumah kebajikan kanak-kanak dan mempelawa wakil menerima urutan daripada tukang urut buta dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia.

Program ini adalah hentian terakhir konvensyen “Meet In Malaysia @ Sarawak” MyCEB selama tiga hari.

Nancy Shukri (kiri) cuba menjahit pelitup muka batik yang dijual usahawan wanita untuk menyokong keluarga mereka.

“Ini adalah inisiatif sangat mulia MyCEB, yang bukan sahaja datang ke sini untuk menganjurkan acara dan menawarkan sokongan kewangan kepada organisasi acara lain di Sarawak, tetapi turut membantu masyarakat tempatan,” kata Nancy.

Beliau ditemani ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo; Setiausaha Politiknya, Mohammed Kamaluddin Mohd Affendi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Noor Zari Hamat dan Timbalannya, Mohd Zamri Mat Zain; Ketua Pegawai Operasi MyCEB, Noor Ahmad Hamid; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak, Suriya Charles Buas serta Pengarah Pemasaran MyCEB, Mohammad Isa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.