Beri tawaran lebih baik kepada penumpang, AirAsia X diberitahu

Beri tawaran lebih baik kepada penumpang, AirAsia X diberitahu

Pakar penerbangan berkata dengan tawaran sedia ada, syarikat penerbangan tambang rendah itu tidak boleh harap sokongan yang cukup untuk elak pembubaran.

AirAsia X dikritik kerana menawarkan pampasan sebanyak 0.5% kepada penumpang yang mempunyai kredit dengannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar penerbangan menggesa AirAsia X (AAX) agar memberi tawaran lebih baik kepada penumpang yang mempunyai kredit dengan syarikat penerbangan itu.

Mohd Harridon Mohamed Suffian dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur berkata, dengan tawaran sedia ada, syarikat berkenaan tidak boleh mengharapkan sokongan yang cukup untuk mengelakkan pembubaran.

Tawaran 0.5% daripada jumlah terhutang adalah terlalu rendah, tambahnya.

“Terma dan syarat harus menguntungkan semua pihak,” katanya kepada FMT.

AAX boleh menunjukkan penghargaannya kepada penumpang dengan memperuntukkan jumlah penuh yang terhutang, dan ia boleh dibayar balik dalam tempoh yang dapat memberi ruang kepada syarikat untuk “bernafas”, katanya.

“Jika bayaran penuh tidak dapat dibuat, syarikat itu patut meningkatkan kuantum pembayaran kepada jumlah yang wajar.”

Kaedah yang digunakan untuk menghitung kuantum harus didedahkan bagi mengelakkan spekulasi timbul, tambahnya.

Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata, cara AAX memilih untuk berurusan dengan pelanggan dan pemegang taruh lain akan menjadi penting dalam menilai pilihan masa depannya.

“Jika pelanggan berasa terkilan dan hilang kepercayaan, maka ia akan sukar bangkit kerana namanya sudah tercemar,” katanya kepada FMT.

“Ini mungkin memberi kesan kepada keseluruhan kumpulan syarikat penerbangan itu.”

Katanya, mungkin ada sedikit harapan jika pelanggan memaafkan, namun tambahnya, orang biasa mungkin tidak mahu menyumbang untuk membangunkan semula syarikat persendirian.

Penumpang hanya salah satu pihak yang dihutangi AAX, dan kata Williams, mereka paling kurang kuasa dalam hal ini.

“Mereka terlalu ramai untuk mengambil tindakan kelas,” katanya.

Williams berkata, syarikat itu berpeluang diselamatkan jika pemiutang korporat besar menerima penyelesaian berkenaan, namun ia dalam jangka panjang.

“Pemiutang boleh mencadangkan penyelesaian alternatif jika mereka rasa lebih baik untuk kekalkan AAX dengan harapan boleh mendapatkan kembali wang mereka dalam jangka panjang.”

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Jacob George berkata, AirAsia X harus mencari jalan penyelesaian yang turut menguntungkan penumpang.

“Syarikat itu boleh mengusahakan perjanjian dengan hotel dan lain-lain untuk menawarkan pakej menarik bagi penumpang atau meningkatkan (jumlah) pampasan,” katanya.

Beliau berkata, pampasan 0.5% itu adalah “tidak beretika” kerana syarikat penerbangan bajet itu berjaya atas kepercayaan penumpang terhadapnya.

“Jika penumpang tidak dapat tawaran lebih baik, mereka mungkin tidak percaya syarikat itu lagi,” tambahnya.

Pada Khamis, FMT melaporkan bahawa ribuan penumpang yang mempunyai kredit dengan syarikat penerbangan itu mungkin hanya mendapat balik 0.5% daripada jumlah yang terhutang kepada mereka bawah pelaksanaan penstrukturan semula hutang.

AAX berhutang kira-kira RM600 juta kepada penumpang dan ejen pelancongan. Jika pelaksanaan penstrukturan hutang itu dipersetujui, ia harus membayar RM2.9 juta sebagai penyelesaian.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, jika diluluskan, ia akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad, dan syarikat tidak akan bertanggungjawab jika mana-mana pemiutang mengambil sebarang tindakan undang-undang selepas itu.

Namun, AAX dijangka mengalami pembubaran jika gagal mendapat persetujuan mengenai penstrukturan hutang, jelasnya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.