Upacara pengebumian cetus kluster di Tenom, kata Masidi

Upacara pengebumian cetus kluster di Tenom, kata Masidi

Wanita berusia 37 tahun jadi kes indeks selepas upacara pengebumian ibu mentua di rumahnya pada 11 Oktober, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Masidi Manjun berkata, kes saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian, namun kes-kes melalui saringan bergejala (sporadik) juga semakin bertambah.
PETALING JAYA:
Seorang wanita menjadi kes indeks selepas upacara pengebumian ibu mentua di rumahnya di Kampung Alab Senagang, Tenom pada 11 Oktober, mencetuskan kluster Alab Senagang yang direkodkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun, berkata wanita tempatan berusia 37 tahun itu, disahkan positif pada 14 Oktober lalu dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, pada hari sama.

“Daripada 88 saringan, 50 kes didapati positif termasuk empat kes baharu pada hari ini dan berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan disyaki berpunca daripada upacara pengebumian ibu mertua kepada indeks kes,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Bernama.

Masidi berkata, ibu mentua kes indeks yang meninggal dunia disebabkan Covid-19, telah dibawa balik ke Kampung Senagang pada 11 Oktober lalu, dan 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul di rumah kes indeks. Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sebanyak 641 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri itu, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 212,970 kes dengan enam kematian dilaporkan.

Sementara itu, Masidi berkata kes saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian, namun kes-kes melalui saringan bergejala (sporadik) juga semakin bertambah.

Jelasnya, ia adalah satu isyarat kepada masyarakat agar melipatgandakan usaha menjaga kesihatan diri, serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Setiap daripada kita sudah menjadi barisan hadapan, saya menyeru kepada semua jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung, ketua kampung dan pemimpin-pemimpin akar umbi lain, membantu kerajaan memastikan semua penduduk mematuhi SOP di kampung masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.