
Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, ia berhak mengambil langkah yang dirasakan sesuai untuk keberkesanan perniagaan dan bagi meningkatkan nama baik syarikat seperti terkandung dalam huraian rancangan penstrukturan semula.
Katanya, keistimewaan perjalanan untuk penumpang yang mempunyai kredit mungkin dilanjutkan dari semasa ke semasa sebaik saja syarikat itu boleh beroperasi semula selepas penstrukturan semula hutang diluluskan pemiutang serta mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi pada 12 Nov nanti.
“Kami memberi jaminan jika penstrukturan semula hutang berjaya, menjadi hasrat AAX untuk memberi keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit perjalanan.
“Ini boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan, barangan atau perkhidmatan lain yang disediakan AAX pada masa hadapan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
AAX berkata, rakan niaga, tetamu dan penumpangnya penting kepada syarikat serta ia menghargai hubungan itu dan perkara itu dipertimbangkan dalam merumuskan penstrukturan semula hutangnya.
Semalam, FMT melaporkan ribuan penumpang yang mempunyai kredit dengan syarikat penerbangan itu mungkin hanya boleh mendapat semula 0.5% daripada jumlah yang dihutang kepada mereka di bawah penstrukturan semula hutang syarikat itu.
AAX berhutang kira-kira RM600 juta kepada penumpang dan ejen pelancongan dan oleh itu ia perlu membayar RM2.9 juta sebagai penyelesaian sekiranya penstrukturan semula hutang itu diluluskan.
Syarikat penerbangan itu berkata, langkah terbabit akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad serta ia tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang tindakan undang-undang daripada mana-mana pemiutang selepas itu.
Bagaimanapun, AAX memberi amaran ia dijangka dibubarkan jika gagal mendapat kelulusan untuk penstrukturan semula hutangnya, menurut huraian AAX.
Untuk memberi gambaran berapa banyak yang boleh dijangkakan oleh penumpang katanya, sesiapa yang mempunyai jumlah dihutangkan sebanyak RM2,000 akan menerima RM10 sebagai “perkongsian keuntungan” pada ulang tahun penstrukturan semula itu dan mereka akan mendapat pulang sama selama empat tahun selepas itu, berdasarkan formula tertentu yang telah digariskan.