
Dalam catatan di Twitter, beliau berkata, dalam tempoh kurang dua bulan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berjaya memberi sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer kepada 80% populasi berumur antara 12 hingga 17 tahun.
“Dalam tempoh kurang dua bulan, kita mampu memberikan 80% daripada populasi remaja 12 hingga 17 tahun sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer.
“Antara kadar vaksinasi Covid-19 remaja terpantas di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dr Noor Azmi Ghazali selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan pemberian vaksin bagi kumpulan berkenaan.
Khairy turut berkongsi maklumat bahawa Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengadakan pertemuan terakhir pada hari ini selepas negara mencapai 95% kadar vaksinasi dewasa.
“Dengan kadar vaksinasi penuh hampir 95%, CITF mengadakan mesyuarat terakhirnya hari ini. Terima kasih kepada semua di CIF yang menjayakan PICK,” katanya.
Beliau berkata, baki vaksin akan diletakkan di bawah program vaksin remaja, CITF-A dan program vaksinasi penggalak, CITF-B.
“CITF-A dipengerusikan oleh Dr Noor Azmi manakala program vaksinasi dos penggalak oleh saya,” katanya.