
Bekas Ketua Menteri Melaka itu mahu Mahkamah Tinggi membatalkan writ yang dikeluarkan oleh SPR pada 18 Okt lalu.
Dalam permohonan yang difailkan hari ini, Adly menamakan penggantinya, Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali; bekas Speaker DUN, Ab Rauf Yusoh; SPR dan Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam sebagai responden.
Adly perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum merit perkara itu didengar.
SPR menetapkan 8 Nov ini sebagai tarikh penamaan calon PRN Melaka.
Kerajaan negeri Perikatan Nasional tumbang selepas tiga Exco meletak jawatan dan seorang ADUN Umno menarik sokongannya kepada Sulaiman.
Mereka adalah Idris Haron (Sungai Udang), bekas ahli DAP, Norhizam Hassan Baktee (bebas-Pengkalan Batu), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor).
Adly kini mahu perintah mahkamah supaya nasihat Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri dan perisytiharan pembubaran DUN ditangguhkan sementara menunggu penghakiman mahkamah.
Katanya, Sulaiman tidak boleh menasihatkan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN kerana beliau sudah hilang sokongan majoriti ADUN.
Sulaiman dikatakan hanya mempunyai sokongan 11 ADUN, selepas empat ADUN menarik sokongan mereka terhadapnya, manakala PH mempunyai 13 daripada 28 kerusi DUN itu.
Adly mahu deklarasi yang ia tidak sah untuk Sulaiman menasihatkan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN kerana beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat.
Beliau juga mahu deklarasi ia tidak wajar dan tidak munasabah untuk membubarkan DUN ketika penularan pandemik Covid-19.
Tambahan, beliau mahu deklarasi pembubaran pada 4 Okt lalu, yang diwartakan keesokannya, terbatal dan tidak sah atas alasan tanpa pengetahuan Yang Dipertua Negeri.
Adly juga mahu perisytiharan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri dibatalkan segera.