3,416 pelajar di Selangor terima vaksin menerusi SelVAX, kata Amirudin

3,416 pelajar di Selangor terima vaksin menerusi SelVAX, kata Amirudin

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata selain pelajar sekolah, program berkenaan turut dibuka bagi remaja tidak bersekolah.

Selain pelajar sekolah, program itu dibuka kepada warganegara dan bukan warganegara belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama, serta penerima vaksin SelVAX yang terlepas janji temu dos kedua, kata Amirudin Shari. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 3,416 pelajar berumur 12 tahun ke atas di Selangor akan menerima suntikan vaksin menerusi program Vaksinasi Selangor (SelVAX) Remaja, bermula Ahad ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,235 orang membabitkan pelajar daripada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), 1,181 murid daripada Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (SRAI), manakala 1,000 pelajar daripada 50 maahad tahfiz.

Beliau berkata, program SelVAX Remaja yang bermula di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya, Klang, itu akan turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain antaranya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, DUN Tanjung Sepat, DUN Bukit Lanjan, dan DUN Pandamaran, mulai 9 pagi hingga 5 petang.

“Program ini akan mengguna pakai kaedah prapendaftaran melalui kod baucar di aplikasi SELangkah sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini. Bagi melancarkan proses pemberian vaksin, pihak sekolah akan diberikan kod baucar khusus yang membolehkan pelajar melakukan pendaftaran kendiri di aplikasi SELangkah.

“Pihak sekolah juga akan dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi yang akan diisi oleh ibu bapa bagi pelajar yang terlibat sebelum suntikan diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, selain pelajar sekolah, program itu turut dibuka bagi remaja tidak bersekolah, warganegara dan bukan warganegara yang masih belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama serta penerima vaksin program SelVAX yang terlepas janji temu dos kedua.

Pada 7 Okt lalu, Amirudin dilaporkan, berkata kerajaan negeri akan menyediakan 150,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac untuk dimanfaatkan kepada 75,000 pelajar dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Selangor menerusi SelVAX dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Sementara itu, Amirudin berkata, program SelVAX Komuniti akan diteruskan di klinik-klinik Selcare bermula 28 Oktober ini dan klinik panel di seluruh Selangor pada 1 Nov depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.