Sekatan masuk ke AS: Supermax dalam proses dapatkan penjelasan

Sekatan masuk ke AS: Supermax dalam proses dapatkan penjelasan

Syarikat itu menegaskan ia telah melaksanakan langkah-langkah bagi memenuhi standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang melibatkan aspek pekerja migran sejak 2019.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu terkejut kerana tiada sebarang pertimbangan diberikan walaupun langkah-langkah berkaitan telah diambil, termasuk penambahbaikan kebajikan pekerja. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Wakil Supermax Corporation Bhd di Amerika Syarikat (AS) sedang berurusan dengan pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) yang dikenakan ke atas produk keluarannya serta langkah-langkah susulan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu turut menegaskan bahawa ia telah melaksanakan langkah-langkah bagi memenuhi standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang melibatkan aspek pekerja migran sejak 2019.

“Proses itu telah berjalan lancar dan kami terkejut kerana tiada sebarang pertimbangan diberikan walaupun langkah-langkah berkaitan telah diambil manakala penambahbaikan ke atas kebajikan pekerja juga sudah dibuat.

“Kami akan mempercepatkan lagi proses untuk memenuhi standard ditetapkan oleh ILO,” katanya.

Pada 11 Oktober lepas, pengeluar sarung tangan getah itu telah melantik sebuah firma perunding antarabangsa untuk menjalankan audit ke atas status pekerja asing di kemudahan Supermax Group yang memberi tumpuan ke atas 11 Indikator Buruh Paksa yang ditetapkan oleh ILO.

Malah, tindakan audit itu masih dijalankan, kata Supermax.

Pada masa ini, kira-kira 20% daripada jualan Supermax Group melibatkan pasaran AS.

Berikutan arahan sekatan tersebut, syarikat terbabit akan mengalihkan produk untuk pasaran AS ke lokasi lain.

Syarikat itu juga telah bertindak memaklumkan pihak berkepentingannya bahawa ia sedang mengambil langkah segera dan wajar untuk menangani isu itu secara cekap.

Pada Rabu, pihak CBP AS telah mengeluarkan perintah sekatan WRO ke atas Supermax Corp dan semua anak syarikatnya atas alasan menerima maklumat yang mendakwa berlakunya penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat terbabit.

CBP juga mendakwa siasatannya turut mengenal pasti 10 indikator buruh paksa ILO.
Susulan siasatan itu, sarung tangan pakai buang keluaran anak syarikat milik penuh Supermax Corp iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing, telah dilarang daripada memasuki semua pintu masuk AS berkuat kuasa 21 Okt, 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.