Dulu saya ada ‘coach’ suka melawak lucah, 7 tahun kemudian terlibat kes rogol, kata Pandelela

Dulu saya ada ‘coach’ suka melawak lucah, 7 tahun kemudian terlibat kes rogol, kata Pandelela

Pandelela berkata, beliau dibuli oleh jurulatih terbabit selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut, kata Pandelela Rinong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mendedahkan beliau mempunyai pengalaman berdepan dengan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

Menerusi perkongsian di Twitter, Pandelela berkata, beliau juga pernah dibuli oleh seorang jurulatih selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Jelas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut.

“Dulu saya ada seorang coach (jurulatih) yang suka buat lawak lucah. Saya buat diam je, tak pun ‘fake laugh’ sebab takut dengan dia. Pernah sekali tak tahan, saya tegur dia tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia terlibat dengan kes rogol.

“Paling sedih, dalam tujuh tahun itu dia akan buat hal setiap tahun. Kami atlet tak boleh buat apa sebab ‘backup’ besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan dalam arena sukan ini, ketua yang baik adalah individu yang boleh memperbetulkan kesalahan bukan menutup kejahilan sangat diperlukan.

“Kepada yang menjadi mangsa kes ini, bersuaralah! Suara kecil anda amat diperlukan sekiranya kita bersama-sama berjuang dalam menghentikan isu ini.

“Bagaimanapun, kami bernasib baik dilindungi persatuan. Apa-apa pun, cerita ini berakhir dengan pengakhiran yang menggembirakan,” jelasnya.

Sejak semalam isu lawak rogol semakin hangat diperkatakan susulan video tular yang memaparkan seorang pelakon tempatan, Fauzi Nawawi menceritakan kembali babak rogol dalam lakonan bersama pelakon Raja Farah dalam sebuah rancangan televisyen.

Menyedari tindakannya menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak, pelakon tersebut membuat permohonan maaf terhadap Raja Farah, suami dan keluarganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.