Dewan Negara lulus usul RMK12

Dewan Negara lulus usul RMK12

RMK12 adalah rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Usul itu disetujukan selepas dibahaskan selama empat hari bermula 12 Okt melibatkan 40 Senator, disusuli penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama dua hari. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Negara hari ini meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Dr Mohamad Ali Mohamad berkata usul itu disetujukan apabila lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari bermula 12 Okt melibatkan 40 Senator, disusuli penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama dua hari.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai Orang Kurang Upaya (OKU), belia, kadar gaji minimum, tahap kesihatan awam dan vaksinasi melibatkan Orang Asli.

Persidangan hari ini menyaksikan 12 kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk empat jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada 12 Okt lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Negara yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

Mengikut takwim Dewan Negara, persidangan pada Isnin ini akan diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.