
Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Umno boleh bergantung kepada kekuatannya sebagai penyandang dan sokongan akar umbi di negeri itu.
Bagaimanapun, Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berpendapat, kelebihan itu tidak bermakna dan Pakatan Harapan (PH) akan dapat mencapai kemenangan jika perselisihan antara Umno dan Bersatu membawa kepada pertembungan tiga penjuru.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi. Sebelum ia dibubarkan, terdapat 17 wakil di bangku kerajaan, iaitu 14 Umno, dua Bersatu dan seorang Bebas. DAP mempunyai tujuh wakil, manakala PKR dan Amanah masing-masing dua.
Shamsul memberitahu FMT, beliau yakin Umno akan dengan mudah memenangi 12 kerusi dan mendapatkan sokongan tiga wakil lagi bagi mendapatkan majoriti mudah.
Bagi Azeem pula, kebanyakan persaingan akan berlangsung tiga penjuru susulan pertelingkahan dalam Umno mengenai kerjasama dengan Bersatu dan PAS.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memutuskan dengan parti mana mereka akan bekerjasama sebelum hari penamaan calon, iaitu 8 Nov.
Azeem merujuk laporan yang mengatakan Bersatu Melaka sudi bekerjasama dengan Umno namun katanya, kepimpinan pusat parti berkenaan tidak berhasrat berbuat demikian.
“Dengan mengambil kira semua ini, saya rasa nasib PH akan menjadi baik. Pembahagian kerusinya telah ditetapkan. Dalam hal ini, Umno dan PN (Perikatan Nasional) mempunyai masalah. PH mungkin menang jika terdapat banyak persaingan tiga penjuru.
“Ini adalah ujian bagi Umno, Jika Zahid mahu (Umno) bergerak solo, kita akan lihat PAS dan Bersatu bertembung dengan Umno,” katanya.
Kata Shamsul, PRN kali ini menarik kerana kedua-dua Zahid dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, tiada dalam negara ketika tempoh kempen berjalan.
Najib dan Zahid, yang sedang dibicarakan, memohon kepada mahkamah agar pasport mereka dikembalikan sementara supaya dapat ke luar negara – Najib ke Singapura untuk mengunjungi anaknya dan Zahid ke Jerman bagi rawatan perubatan – dan permohonan mereka diluluskan.
PRN Melaka akan diadakan pada 20 Nov.